suria

400 Kematian Akibat Strok Haba Di Pakistan

Seorang ibu membawa anaknya untuk menjalani rawatan di pusat perubatan di Karachi.

KARACHI: Sebanyak 400 kematian dilaporkan di bandar terbesar di Pakistan ini akibat suhu panas yang mencecah 45 darjah Celsius.

Selain itu, 11 lagi kematian dilapor di bahagian selatan wilayah Punjab, menjadikan keseluruhannya 191 maut akibat cuaca panas melampau itu.

Situasi yang melanda selatan negara itu mendorong kerajaan meminta bantuan tentera untuk membantu mangsa strok haba.

Kejadian berlaku sebulan selepas India yang berjiran dengan Pakistan dilanda cuaca panas paling teruk dalam sejarah negara itu, hingga menyebabkan lebih 2,000 penduduk maut.

Pegawai kanan kesihatan kerajaan wilayah Sindh Doktor Sabit Memon berkata, angka kematian mungkin meningkat.

Jurucakap Pengurusan Bencana Kebangsaan Ahmed Kamal berkata, kerajaan meminta tentera membantu usaha meringankan penderitaan penduduk, termasuk mendirikan pusat rawatan di sekitar bandar raya itu.

Keadaan bertambah buruk apabila suhu panas itu turut memutuskan bekalan elektrik.

Kerajaan wilayah Sindh menguatkuasakan perintah darurat di semua hospital, termasuk membatalkan cuti doktor dan kakitangan perubatan lain serta menambah stok ubat-ubatan.

Cuaca lebih panas dan kering diramal melanda bandar raya itu sekurang-kurangnya satu atau dua hari lagi. - AFP


strok haba, Karachi, Pakistan

Artikel Lain