suria

Lelaki Lepaskan Tembakan, Bom Ibu Pejabat Polis

SEORANG lelaki bertindak melepaskan tembakan serta bahan letupan ke arah ibu pejabat Jabatan Polis Dallas, namun kemudiannya dia berjaya ditembak mati oleh penembak tepat polis di dalam sebuah van pada awal Sabtu, lapor pihak berkuasa.

Insiden yang memakan masa selama berjam-jam itu bermula selepas tengah malam apabila suspek, yang membuktikan dirinya sebagai seorang yang mempunyai masalah mental dan rekod jenayah, bertindak  melepaskan tembakan ke arah ibu pejabat, jelas pihak polis.

Suspek tersebut meninggalkan dua beg berisi bahan letupan yang kemudiannya meletup, lapor polis.

Kejadian tersebut menyebabkan cermin pecah berkecai dan kerosakan bangunan serta beberapa buah kenderaan pihak berkuasa.

Difahamkan, suspek merempuh kereta peronda polis dengan menggunakan van berperisai sehingga menyebabkan berlaku aksi mengejarnya yang berakhir di sebuah restoran makanan segera di Hutchins, kira-kira 10 batu (16 kilometer) dari selatan bandar, iaitu lokasi suspek ditembak mati.

Menurut Ketua Polis Dallas, David Brown, suspek dipercayai melakukan jenayah berseorangan, yang dikatakan berpunca dengan isu tidak berpuas hati peribadi, namun tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas.

Dilaporkan tiada kecederaan semasa kejadian berlaku walaupun beberapa das tembakan hampir terkena beberapa pegawai polis, jelas Brown.

"Saya lega dan bersyukur apabila tiada seorang pun anggota yang tercedera semasa kejadian.

"Anggota kami hanya mampu cuba mengelak daripada terkena peluru yang dilepaskan," kata Brown kepada pemberita.

Menurutnya lagi, perunding polis menjalankan tugas dengan cubaan bercakap dengan suspek di dalam van, yang memperkenalkan dirinya sebagai James Boulware, 35, namun polis enggan mempercayai identiti lelaki tersebut sehingga mendapat keputusan sah daripada pegawai pemeriksa perubatan.

Berdasarkan rekod awam, Boulware didapati mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk melakukan serang ke atas ahli keluarganya sendiri.

Selain itu, Brown memamklumkan bahawa suspek menyalahkan pihak polis apabila menyebabkan dia kehilangan hak penjagaan anak serta mempercayai beberapa pegawai polis menuduhnya sebagai seorang pengganas.

Sementara itu, ibu suspek, Jeanine Hammond memberitahu akhbar Dallas NBC, yang bergabung bersama stesen televisyen KXAS-TV, bahawa anaknya itu mempunyai masalah mental, malahan sering mendengar 'suara bisikan'.

Dallas, Militan

Artikel Lain