suria

Malaysia Disenarai Dalam Skim Visa E-Tourist India

NEW DELHI: Kerajaan India mengumumkan skim 'visa e-tourist' diperluaskan kepada 31 negara lagi, termasuk Malaysia.

Ini susulan pengumuman Kementerian Dalam Negeri pada Rabu bahawa kementerian itu membuat keputusan menamakan semula skim visa semasa ketibaan sebagai visa e-tourist.

Skim itu bertujuan mengelak masalah kepada pelancong asing, yang keliru dengan tatanama skim itu, akan menaiki penerbangan ke India dan beranggapan bahawa mereka akan diberi visa semasa ketibaan sebaik sahaja mendarat di lapangan terbang, lapor Times of India.

"Nama skim itu didapati mewujudkan kekeliruan dalam kalangan pelancong.

Pelancong beranggapan visa akan diperoleh sebaik tiba di sini... bagaimanapun dalam sistem semasa, kelulusan awal visa kepada warga asing diberi sebelum mereka melakukan perjalanan," kata seorang pegawai kanan di Kementerian Dalam Negeri.

Menurut akhbar harian itu, berdasarkan skim visa e-tourist, seseorang pelancong asing diperlukan memohon visa dalam talian dengan memuat naik gambar dan pasport mereka, di samping membuat pembayaran visa, secara dalam talian.

Pihak berkuasa pengeluar visa kemudian akan memproses permohonan itu dan menghantar kepada pemohon kelulusan perjalanan elektronik, atau e-visa, menerusi e-mail dalam tempoh 72 jam.

Skim e-visa pada masa ini meliputi 45 negara dan boleh diperoleh di sembilan lapangan terbang antarabangsa utama.

Akhbar itu menambah berikutan perluasan skim itu menjelang Jun, senarai itu akan meningkat kepada 76 negara dan 16 lapangan terbang.

Lapangan terbang yang dimasukkan ke dalam senarai sembilan buah yang sedia ada dan membolehkan warga asing dari negara yang layak mendarat dengan visa e-tourist ialah Jaipur, Amritsar, Gaya, Lucknow, Trichy, Varanasi dan Ahmedabad.

Dalam kenyataannya, Kementerian Dalam Negeri turut menyatakan bahawa lapangan terbang berkenaan dipilih berdasarkan jumlah besar pelancong asing yang tiba disebabkan kedudukannya yang hampir dengan lokasi pelancongan utama.

e-tourist, India

Artikel Lain