suria

Parlimen Australia Bertafakur Untuk MH370

CANBERRA: Parlimen Australia pada Khamis bertafakur selama seminit bagi memperingati insiden pesawat Malaysian Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang bersama-sama 329 penumpang dan anak kapal yang akan genap setahun pada 8 Mac ini.

Di hadapan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia, Datuk Zainal Abidin Ahmad, dan wakil negara yang terbabit dalam usaha mencari pesawat itu yang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, Perdana Menteri Tony Abbott berkata beliau tidak dapat berjanji bahawa misi pencarian akan mengekalkan tahap pencarian besar-besaran seperti tahun lepas.

Namun beliau berjanji kepada keluarga yang mempunyai orang tersayang dalam pesawat itu bahawa misi pencarian diketuai Australia akan terus berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan insiden yang dianggap "satu daripada insiden paling misteri pada ketika ini".

Walaupun Ahad ini genap setahun pesawat itu hilang, Parlimen Persekutuan memperingati mangsa pada hari ini hari terakhir Parlimen bersidang sebelum berehat selama seminggu.

Abbott turut menyatakan simpati kepada anggota keluarga bagi "penderitaan" yang mereka harungi selama setahun ini dan mengakui bahawa operasi pencarian setakat ini gagal memberikan jawapan kepada mereka.

MH370, Australia

Artikel Lain