suria

IS Tawan Dua Telaga Minyak Di Libya

BENGHAZI: Kumpulan Negara Islam (IS) berjaya menawan sekurang-kurangnya dua telaga minyak utama yang terletak di tengah Libya pada Selasa, lapor jurucakap yang berkhidmat untuk keselamatan industri minyak negara kepada AFP.

"Kumpulan bersenjata telah mengambil alih telaga Al-Bahi dan Al-Mabrouk dan sekarang dalam perancangan untuk menawan telaga Al-Dahra selepas pengunduran pihak berkuasa yang mengawal di kawasan tersebut," kata Kolonel Ali Al-Hassan.

Telaga Al-Bahi dan Al-Mabrouk telah diarahkan tutup serta merta beberapa minggu lepas disebabkan keganasan kumpulan bersenjata di terminal eksport, kira-kira 310 batu (500 kilometer) dari timur Tripoli.

Satu serangan pada Februari lepas telah menyebabkan 11 kematian dan kesemua kakitangan diarahkan berpindah.

Awal Selasa lepas, Al-Hassi memaklumkan bahawa pesawat perang militan telah menyerang terminal eksport utama di Al-Sidra namun berpatah balik tanpa membedil sasaran utama.

"Sebagai tindak balas, pesawat tentera udara yang diiktiraf antarabangsa telah menyerang Lapangan Terbang Mitiga yang dikawal militan tanpa mengakibatkan sebarang kecederaan," jelasnya. 


Libya, Minyak, IS