suria

Temu Bual Perogol Terkenal India Cetus Kontroversi

NEW DELHI: Seorang wartawan Britain menjadi sasaran cemuhan di India kerana menemu bual seorang banduan yang terlibat dengan jenayah rogol berkumpulan terhadap seorang pelajar perempuan berusia 23 tahun pada 2012, sekali gus mencetuskan perbahasan tentang etika kewartawanan dan persoalan sub judice.

Satu dokumentari BBC menunjukkan Mukesh Singh, yang dijatuhi hukuman mati, dikatakan memberitahu saluran berita itu bahawa wanita yang keluar malam patut menyalahkan diri sendiri sekiranya mereka menarik perhatian kumpulan lelaki untuk mencabulnya.

Banyak rakyat India marah apabila Mukesh Singh langsung tidak menunjukkan rasa kesal kerana melakukan jenayah keji itu dan berkata wanita tidak sepatutnya merayau ke sana-kemari.

Penerbit Leslee Udwin mempertahankan dokumentarinya itu dengan berkata beliau mematuhi semua syarat yang dikenakan pihak berkuasa dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta pihak berkuasa penjara sebelum menemu bual Mukesh Singh.

Udwin berkata dokumentari itu bukan sahaja menampilkan Mukesh Singh, tetapi juga anggota keluarga mangsa, termasuk ibunya yang amat sedih dengan kejadian itu.

Udwin dipetik saluran berita CNN-IBN sebagai berkata bahawa beliau sendiri adalah mangsa rogol dan oleh itu ingin semua orang tahu perkara yang berlegar dalam fikiran Mukesh Singh ketika dia melakukan jenayah itu.

Bagaimanapun, beberapa kumpulan pendesak dan anggota keluarga mangsa yang ditemu bual saluran televisyen tempatan di Delhi menyuarakan kemarahan mereka tentang perkara yang diucapkan Mukesh Singh dalam temu bual itu.

Mereka menggesa pihak berkuasa menyekat penyiaran dokumentari itu kepada penonton tempatan melalui saluran berita BBC World.

Mereka juga mempersoal bagaimana temu bual di dalam sel penjara seperti itu boleh mendapat kebenaran dan menuduh BBC langsung tidak mempedulikan sensitiviti penduduk tempatan, rakyat India umumnya, berhubung serangan kejam yang dilakukan terhadap mangsa.

Ini mendorong Polis Delhi mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan mengambil tindakan undang-undang berhubung penyiaran dokumentari kontroversi itu.

Pesuruhjaya Polis Delhi B.S. Bassi dipetik sebagai berkata pada satu sidang akhbar bahawa "kami akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyiaran input itu".

"Ini suatu jenayah dahsyat dan undang-undang telah dicabuli; kami akan siasat kes ini," kata Bassi, seperti yang dilaporkan saluran ABP News.

Dokumentari yang diterbitkan melalui inisiatif Udwin itu berkisar tentang temu bualnya dengan Mukesh Singh, seorang daripada enam pemuda yang terlibat melakukan serangan seksual terhadap pelajar berkenaan di dalam bas yang sedang bergerak pada 16 Dis 2012.

Mangsa, pelajar jurusan fisioterapi, dirogol dan dipukul dengan batang besi selepas dia diperdaya menaiki bas itu bersama rakan lelakinya.

Menurut laporan, rakan mangsa dipukul teruk hingga tidak berdaya menolongnya dan kumpulan berkenaan mencampaknya di tepi jalan.

Pelajar perempuan itu meninggal dunia 13 hari selepas kejadian ketika dirawat di sebuah hospital di Singapura.

Rogol India, BBC

Artikel Berikut

Artikel Lain