suria

Raja Coklat 'Ferrero Rocher' Meninggal Dunia

Beberapa produk popular yang dihasilkan oleh Michele Ferrero.

ROM: Michele Ferrero - raja coklat yang juga merupakan orang terkaya Itali telah meninggal dunia, pada usia 89 tahun Sabtu lepas.

Di bawah empayar syarikat coklatnya, mereka telah menghasilkan sekurang-kurangnya tiga jenama paling popular di dunia iaitu 'Ferrero Rocher', 'Tic Tac' dan 'Nutella'.

Jualan tahunan syarikat Ferrero berjumlah sekitar £6 bilion.

Mendiang telah dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Monaco selepas berbulan-bulan menderita sakit tua.

Presiden Itali, Sergio Mattarella mendahului senarai kenamaan yang mengucapkan takziah kepada keluarga Ferrero sambil menyifatkannya sebagai seorang usahawan tulin yang dilahirkan untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Syarikatnya kini akan diwarisi oleh anak lelaki keduanya, Giovanni. Abang kepada Giovanni, Pietro, meninggal dunia di Afrika Selatan kerana serangan jantung pada 2011.

Ketika dia masih sihat, Michele Ferrero berulang alik setiap hari dari kediamannya di Monte Carlo ke ibu pejabat syarikatnya di Alba, Utara Itali menggunakan helikopter.

Dia tidak pernah mengizinkan orang luar menguasai syarikat yang ditubuhkan oleh bapanya pada tahun 1946 itu.

Produk yang dihasilkan olehnya terjual di 53 buah negara.

Ferrero tersenarai sebagai manusia yang ke-30 terkaya di dunia dengan nilai harta dan tunai sebanyak AS$23.4 bilion.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain