suria

Xanana Gusmao Letak Jawatan Sebagai PM Timor-Leste

Xanana Gusmao

TIMOR-LESTE: Xanana Gusmao telah meletakkan jawatan sebagai perdana menteri Timor-Leste pada Jumaat bagi membolehkan negara itu melaksanakan beberapa proses pengstrukturan semula dalam kerajaan minggu depan.

“Kerajaan Timor-Leste dengan ini mengesahkan yang Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmao telah pun menghantar surat peletakan jawatannya kepada presiden Taur Matan Ruak, berkuatkuasa serta merta,” demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Gusmao, 68, adalah bekas pemimpin gerila negara itu ketika perang menuntut kemerdekaan dari Indonesia dan kemudiannya menjadi presiden negaranya yang pertama sebaik sahaja pemerintahan Indonesia tamat pada 2002.

Beliau menjadi presiden sehingga 2007 dan selepas itu perdana menteri selama tujuh tahun lagi.

Timor-Leste dengan penduduk seramai 1.2 juta orang telah mengundi dalam satu referendum pada 1999 untuk mencapai kemerdekaan penuh dari Indonesia selepas negara itu berperang dengan Indonesia yang menyaksikan lebih 170,000 orang terkorban.

Gusmao sendiri telah ditangkap dan ditahan selama bertahun-tahun di dalam penjara kerana melancarkan perang gerila ke atas Indonesia.

Timor-Leste yang sebelum merdeka dikenali sebagai Timor-Timur adalah wilayah jajahan Portugis sebelum pulau kecil itu diambil alih oleh Indonesia sebaik sahaja Portugis meninggalkannya pada 1975.

Perletakan jawatan Gusmao, 68, adalah untuk membuka jalan kepada generasi seterusnya mengambilalih tampuk pemerintahan negara.

Kerajaan baru nanti bakal mengecilkan jumlah anggota kabinet dari 55 kepada hanya 34 menteri dan akan menjadi lebih inklusif dengan beberapa anggota dari parti pembangkang akan turut dijemput untuk menduduki barisan jemaah menteri.

Walaupun telah melepaskan kerusi perdana menteri tetapi Gusmao dijangka akan terus memainkan peranan sebagai anggota kabinet yang baru dan bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan.


Artikel Lain