suria

Pilihan Raya Delhi, Ujian Besar Kepimpinan Modi

Narindra Modi

NEW DELHI: Hampir 13.1 juta pengundi akan mengundi pada Sabtu ini bagi pilihan raya dewan perundangan Delhi, yang dilihat sebagai ujian pertama kepada kepimpinan Perdana Menteri India, Narindra Modi, yang berjanji mentransformasikan Delhi kepada bandar raya bertaraf dunia setaraf dengan bandar raya moden lain dunia.

Ia juga cabaran besar kepada pemimpin berkarisma ini untuk membuktikan para pengkritiknya silap bahawa kemenangan besar Parti Barathiya Janatha (BJP) pada pilihan raya kebangsaan 2014 bukan disebabkan pergolakan dalaman parti-parti lawan, sebaliknya oleh peningkatan populariti parti itu dalam kalangan pengundi India.

Walaupun pilihan raya Delhi pada awalnya dilihat sebagai pertarungan tiga penjuru antara BJP, Parti Aam Aadmi (AAP) dan Kongres, tetapi dengan kurang 24 jam menjelang pengundian, ia seperti hanya pertarungan antara BJP dan AAP.

Pilihan raya kali ini kurang menyerlah. Tidak terdapat banyak papan iklan kelihatan di jalan-jalan raya utama ataupun pengangkutan awam, kenderaan rasmi parti-parti yang mengibarkan bendera dan kain rentang parti serta menyiarkan lagu dan slogan parti masing-masing.

Tetapi seiring dengan kedudukan India yang menempatkan gergasi teknologi maklumat berkelas dunia, parti-parti politik giat menjalankan kempen melalui media sosial seperti Facebook, twitter, WhatsApp dan e-mel.

Ahli-ahli politik menggunakan sepenuhnya keghairahan media - menyertai program-program debat, bual bicara secara langsung, dengan calon-calon bebas menjawab soalan-soalan yang pedas, menyentuh berkenaan politik wang dan dana haram (hawala) yang digunakan untuk menyokong kempen mereka.

Iklan-iklan parti juga merupakan kebiasaan dalam akhbar-akhbar utama.

Rakyat India memberi perhatian terhadap pilihan raya penting ini dan demikian juga media-media negara ini yang memberikan liputan meluas.

Pengulas dan pemerhati politik yang ditemu ramah oleh stesen TV tempatan meramalkan bukanlah mudah bagi Modi yang mengetuai sendiri kempen di Delhi.

BJP yang meletakkan seorang calon wanita Kiran Bedi, bekas pegawai IPS dijangka menjadi faktor penting menarik undi golongan wanita, sementara ketua AAP Arvind Kerjiwal, bekas ketua menteri Delhi untuk seketika, menjanjikan kerajaan bebas rasuah, air dan elektrik lebih murah.

Walaupun seramai 171,450 pengundi baharu layak mengundi, ia mungkin tidak memberikan impak besar terhadap keputusan pilihan raya itu.

Berikutan kemungkinan para pengundi muda menjauhkan diri daripada  pusat-pusat mengundi, parti-parti politik berusaha memujuk anak-anak muda ini dengan memberi penekanan supaya mereka menunaikan hak seperti yang dilakukan pada pilihan raya sebelum ini.

Pada pilihan raya tahun lepas, BJP berjaya memperoleh kemenangan besar berikutan pengundi yang ramai keluar mengundi kerana mahu menyingkirkan pemerintahan parti Kongres.

Modi pula menolak ramalan awal keputusan pilihan raya yang didakwa memihak kepada AAP, yang meramalkan akan menenangi sekurang-kurangnya 50 daripada 70 kerusi yang dipertandingkan di dewan perundangan negeri, dengan menyifatkan kaji selidik itu dilakukan oleh "orang yang mahu wang".

Akhbar harian utama, The Hindu memetik Modi yang bergurau dengan para penyokongnya bahawa ketika beliau bertanding di kerusi parlimen Varanasi pada pilihan raya umum tahun lepas, beliau diramalkan kalah dengan 300,000 undi.

Modi menggesa para pengundi tidak dipengaruhi oleh kaji selidik dan "pembohongan" mengenai AAP dan menyokong agenda beliau membawa pembangunan yang amat diperlukan kepada ibu negara itu serta keperluan asas yang lebih baik kepada penduduk miskin bandar.

Sementara itu, Kejriwal dalam satu daripada program bual bicara membangkitkan kemungkinan penipuan mesin mengundi elektronik (EVMs), tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya berkata, mesin yang rosak tidak akan ditempatkan di pusat-pusat mengundi dan ia kalis tipu.

Sebaliknya, Hindustan Times melaporkan parti Kongres berkemungkinan gagal mempertahankan lapan kerusi yang dimenanginya pada 2013.

Parti berkenaan memperoleh 40 peratus daripada jumlah undi pada 2008, namun merosot 25 peratus pada 2013.

Pengundi yang menjadi asas kepada parti Kongres sebelum ini terdiri daripada kalangan penduduk minoriti dan miskin telah beralih kepada AAP yang memenangi 28 kerusi semasa kemunculan pertamanya pada 2013.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain