suria

QZ8501: Nelayan Temui Mayat Tak Sempurna

Pasukan mencari membawa mayat yang dipercayai mangsa pesawat AirAsia Indonesia ke hospital untuk tujuan pengecaman.

MAKASSAR: Nelayan di pinggir pantai Dusun Tatakko, Majene di Sulawesi Barat menemui mayat dalam keadaan tidak sempurna, dipercayai mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 pada Ahad.

Ia adalah mayat ke tujuh membabitkan tragedi itu yang ditemui di sekitar perairan Selat Makasar di sini sejak pesawat itu terhempas pada 28 Disember lalu.

Media Indonesia melaporkan, Ketua Perhubungan Awam Polis Sulawesi Selatan, Endi Sutendi berkata, mayat itu ditemui warga tempatan yang dikenali sebagai Sudirman, 31.

"Keadaan mayat yang terdampar itu kelihatan tidak sempurna, badan tanpa kepala, tangan dan kaki, ditemui pada jam 1.30 petang (waktu Indonesia Bahagian Tengah)," katanya kepada Detikcom.

Katanya lagi, bahagian badan itu kemudian dibawa ke Rumah Sakit Majene, sebelum dihantar ke Rumah Sakit Bhayangkara Makassar.

Sebelum ini, enam mayat ditemui di Majene, Sulbar dan satu jenazah ditemui di pesisir pantai Suppa, Kab Pinrang, Sulawesi Selatan.

Selain badan jenazah, nelayan dan pasukan mencari dan menyelamat juga menemui serpihan pesawat dan barang milik penumpang QZ8501.

Semua jenazah yang ditemui sebelum ini dibawa ke Surabaya untuk proses mengenalpasti oleh pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Polda Jawa Timur. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain