suria

Kegagalan Selamatkan Tebusan Buka Banyak Mata Di Jepun

PM Jepun, Shinzo Abe sugul dan menitiskan air mata apabila beliau menyentuh tentang pembunuhan dua warga Jepun oleh kumpulan militan negara Islam baru-baru ini. Kerajaannya dipersalahkan kerana tidak menangani isu tersebut dengan sempurna.

TOKYO: Kegagalan kerajaan Jepun mengendali krisis tebusan warganya dari tangan para militan Negara Islam (Isis) sehingga membawa kepada pembunuhan dua orang tebusan itu telah membuka mata banyak pihak di negara tersebut.

Sebahagian besar pakar hubungan luar meletakkan kegagalan menangani isu tersebut di sebabkan kerajaan Jepun tidak mempunyai maklumat mendalam mengenai situasi di Asia Barat.

Ia juga mendedahkan sejauh manakah kemampuan negara itu mengendalikan krisis antarabangsa yang melibatkan mereka.

Wartawan Jepun yang ditahan Isis, Kenji Goto menjadi mangsa pembunuhan kejam kumpulan militan tersebut selepas permintaan mereka untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak AS$200 juta tidak mendapat layanan dari Tokyo.

Para analisis membuat kesimpulan, insiden tersebut telah membuka mata semua pihak yang terbabit di negara matahari terbit itu.

Ia juga mendedahkan betapa sumber-sumber diplomatik Jepun di Asia Barat tidak mempunyai maklumat yang mencukupi bagi menangani krisis seumpama ini.

“Krisis ini mendedahkan betapa kerajaan Jepun kekurangan maklumat untuk bertindak menyelamatkan dua orang rakyat Jepun yang dijadikan tebusan,” kata Profesor Takashi Kawakami, dari Universiti Takushoku.

Katanya, selepas apa yang berlaku ini, kerajaan Jepun harus mempertingkatkan operasi perisikan dan penyaluran maklumat di dalam negara dan juga luar negara.

"Apa yang terjadi kepada wartawan perang Kenji Goto dan kawannya Haruna Yukawa jelas sekali memperlihatkan betapa Tokyo tidak mempunyai hubungan dan juga kepakaran di rantau itu untuk menyelamatkan keadaan.

Jepun hanya bergantung harap sepenuhnya ke atas sekutu rapat mereka Jordan - sedangkan negara itu sendiri sedang berhadapan dengan krisis yang sama untuk menyelamatkan nyawa juruterbangnya yang ditahan Isis," kata profesor itu lagi.

Seorang lagi profesor iaitu Masanori Naito, yang merupakan seorang pakar dalam pengajian Islam dan juga Timur Tengah dari Univesiti Doshisha, Kyoto, berkata Jepun sepatutnya mendapatkan khidmat bantuan daripada Turki yang berjaya memperolehi pembebasan beberapa tebusan Isis baru-baru ini.

Perdana Menteri, Shinzo Abe mempunyai pendirian yang keras tidak berunding dengan militan dan pengganas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain