suria

AirAsia QZ8501: Pesawat Terhempas Dalam Tempoh Tiga Minit

JAKARTA: Pesawat AirAsia Indonesia, QZ8501 mengambil masa selama tiga minit sebelum ia terhempas ke Laut Jawa, menurut Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia (NTSC) pada Khamis. 

Semua anak kapal disahkan mempunyai tauliah untuk terbang dan pesawat berada dalam keadaan baik sebelum ia berlepas dari Surabaya ke Singapura pada 28 Disember lalu, kata Ketua Penyiasat NTSC, Mardjono Siswosuwarno. 

"Pesawat Airbus A320 berkenaan terbang pada ketinggian dan had berat yang dibenarkan sebelum terhempas. Manakala anak kapal mempunyai lesen dan sijil perubatan yang sah," katanya.

Mardjono berkata rakaman data penerbangan yang disediakan memberi gambaran jelas mengenai apa yang berlaku pada saat-saat terakhir sebelum pesawat berkenaan terhempas.

Mengulas lanjut beliau berkata, pembantu juruterbang sedang mengendalikan pesawat berkenaan ketika nahas itu berlaku, yang mengorbankan semua 162 penumpang.

Bagaimanapun, beliau berkata ribut petir berlaku pada ketinggan 44,000 kaki. Ia menyebabkan kapten meminta kebenaran untuk terbang pada ketinggian 38,000 kaki berbanding 32,000 kaki, bagaimanapun ia hanya dibenarkan terbang pada ketinggian 34,000 kaki. 

Pada ketinggian 32,000 kaki pesawat itu condong ke sebelah kiri sebelum ia naik secara perlahan-lahan sehingga mencapai ketinggian 37, 400 kaki dalam tempoh 30 saat. 

Pesawat malang itu mengambil masa 30 saat lagi untuk turun ke ketinggian 32,000 kaki, dan ia mengambil masa selama tiga minit sebelum terhempas ke dalam laut. 

Pada 12 Januari lalu, pasukan BASARNAS menemui rakaman data penerbangan (FDR) manakala rakaman suara kokpit (CVR) ditemui pada keesokannya di sekitar perairan Selat Karimata. -The Straits Times/ANN
AirAsia, QZ8501, Selat Karimata

Artikel Lain