suria

Yingluck Dicabar, Didakwa & Diharamkan Terlibat Politik Selama 5 Tahun

Yingluck tiba di Parlimen Bangkok untuk mendengar keputusan berhubung kes salah guna kuasa subsidi padi.

BANGKOK: Kerjaya politik bekas perdana menteri Thailand Yingluck Shinawatra kelihatan suram selepas anggota Dewan Perundangan Kebangsaan (NLA) mengundi pagi ini untuk mendakwa beliau berhubung skim subsidi padi yang penuh kontroversi.

Secara berasingan pagi ini, Pejabat Peguam Negara mengumumkan keputusan untuk mendakwa beliau berhubung skim subsidi padi yang sama.

Sebanyak 220 anggota dalam NLA mengundi 190-18 untuk mendakwa Yingluck berhubung skim ini menyebabkan kerajaan akan dibebani dengan sebahagian besar stok penimbal beras dan kerugian berbilion baht kerana ia membeli padi daripada petani pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran.

Ini menyebabkan Yingluck diharamkan daripada politik selama lima tahun, berkuat kuasa mulai Jumaat, dan oleh itu tidak boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya umum yang dijangka akan diadakan pada akhir tahun ini atau tahun depan.

Sementara itu, menurut Bangkok Post, Ketua Pengarah Pejabat Jabatan Litigasi Peguam Negara, Surasak Trirattrakul mendedahkan bahawa Peguam Negara Trakul Winitchayapak telah menandatangani perintah mendakwa Yingluck kerana gagal untuk menghentikan skim subsidi padi selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan mendapati berlaku penyelewengan di dalamnya.

Terdapat dua usul pendakwaan lain diundi oleh anggota NLA, namun kedua-duanya dapat mengelak pendakwaan.

Bekas Speaker Dewan Somsak Kiatsuranont mendapat undian 100-115 undi manakala bekas Speaker Dewan Negara Nikom Wairatpanij mendapat undian 95-120.

Pendakwaan memerlukan sekurang-kurangnya 132 undi.

Usul untuk mencabar mereka dibawa berhubung pembabitan mereka dalam pindaan rang undang-undang perlembagaan yang memerlukan semua anggota Senat terdiri daripada mereka yang dipilih berbanding separuh sahaja yang dilantik seperti yang termaktub dalam Piagam 2010 yang berkuat kuasa pada masa itu.

Prosiding bermula 10.20 pagi dengan 219 daripada 220 anggota NLA hadir dan dipengerusikan oleh Presiden NLA Pornpetch Wichitcholcha. -- Bernama

Yingluck, rasuah, subsidi padi, NLA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain