suria

Bekas Polis Wanita Pertama India Calon Ketua Menteri Delhi

Kiran Bedi

NEW DELHI: Parti pemerintah Kerajaan India, BJP secara rasmi telah mencalonkan bekas pegawai tinggi polis wanita negara itu sebagai calon ketua menteri ibu negara itu.

Kiran Bedi akan bertanding jawatan itu atas tiket BJP dalam pilihan raya yang akan berlangsung pada 7 Februari ini.

Kiran akan ditentang oleh bekas ketua menteri yang lalu, Arvind Kejriwal yang mewakili Aam Aadmi Party (AAP).

Delhi tidak mempunyai ketua menteri hampir setahun selepas Arvind meletakkan jawatan sebagai memprotes tindakan Dewan Undangan Negeri menolak Rang Undang-Undang Rasuah yang baru yang ingin diperkenalkannya.

Sejak itu, Delhi diperintah secara langsung oleh kerajaan pusat.

"Hari ini Bharatiya Janata Party [BJP] telah memutuskan untuk mencalonkan Kiran Bedi bagi mewakili parti ini dalam pilihan raya Delhi," kata Presiden BJP, Amit Shah dalam satu sidang akhbar khas di sini pada lewat Isnin.

Kiran Bedi, 65, adalah pegawai polis wanita pertama India menyertai perkhidmatan itu pada 1972 dan pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuklah berkhidmat sebagai penasihat keselamatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun dia mencipta nama dan mendapat perhatian dunia selepas dilantik sebagai ketua pengarah Penjara Tihar di sini dan memperkenalkan senaman yoga dan kelas membaca kepada para banduan.

Kiran berkata dia akan menerima cabaran Arvind untuk berdebat.

Kiran Bedi, BJP, India, Delhi

Artikel Lain