suria

Tentera Pakistan Serang Balas, 57 Taliban Maut

Keadaan sekolah kendalian tentera Pakistan yang rosak teruk akibat serangan militan Taliban yang mengorbankan 135 pelajar, Selasa.

PESHAWAR: Hanya dua hari selepas tembakan rambang puak Taliban yang mengorbankan 148 orang, termasuk 135 pelajar pada Selasa, pasukan tentera udara Pakistan bertindak melancarkan serangan udara dan darat terhadap kumpulan militan itu.

Serangan bagi membalas insiden di sekolah kendalian tentera negara itu berjaya membunuh sekurang-kurangnya 57 militan di beberapa lokasi pertahanan mereka.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan tentera Pakistan, 20 tempat persembunyian kumpulan itu dibom jet pejuang iaitu di daerah Khyber yang bersempadan dengan bandar ini iaitu lokasi kejadian Selasa lalu.

“Pasukan tentera darat juga bergerak lebih jauh ke lembah Tirah iaitu di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Afghanistan yang menjadi kubu perlindungan kumpulan militan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda sejak sekian lama,” kata kenyataan itu.

Anggota pasukan forensik sedang menjalankan ujian bagi mengenal pasti mangsa kejadian serangan di sekolah berkenaan.

Susulan kejadian itu, penduduknya berkabung untuk mangsa yang terbunuh dalam serangan yang disifatkan paling dahsyat dalam dekad ini.

Bagaimanapun, jurucakap Taliban Pakistan, Mohammad Khurasani pada malam Khamis berkata, lebih banyak serangan seperti yang dilakukan pada sekolah di Peshawar itu akan dilakukan.

Rakaman video yang menunjukkan ketua Taliban, Mullah Fazlullah (tengah) yang dikatakan sebagai individu yang bertanggungjawab mengarahkan serangan dilancarkan di sekolah berkenaan sebagai membalas dendam terhadap tentera Pakistan. 

“Kami masih mampu melancarkan serangan besar. Ini baru permulaannya,” katanya menerusi emel yang dihantarnya pada malam Khamis.

Dia juga memberi amaran kepada orang awam di Pakistan supaya menjauhi semua institusi ketenteraan.
Pakistan, Taliban, bom, Khyber

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain