suria

Ahli Parlimen 'Ditangkap' Asyik Bermain Candy Crush Ketika Mesyuarat

Mills mengakui bermain Candy Crush dan berjanji akan cuba mengelak kejadian sama berulang.

SEORANG Ahli Parlimen di Britain dimalukan sendiri apabila 'ditangkap' sedang asyik bermain Candy Crush ketika mesyuarat mengenai isu pesara di negara itu.

Nigel Mills mengakui dia bermain satu atau dua permainan itu sedangkan dia sepatutnya mendengar fakta penting yang dikemukakan pakar dalam pertemuan antara wakil rakyat dan jawantankuasa pencen itu.

Menggunakan iPad yang diperolehnya hasil cukai yang dibayar rakyat, Ahli Parlimen Amber Valley di Derbyshire itu dilihat khusyuk merenung iPad berkenaan dan menggerakkan jarinya pada skrin untuk melengkapkan permainan popular itu.

Pada mesyuarat itu, dia bertanya empat soalan kepada pakar yang hadir termasuk mengenai langkah  untuk memperbaiki pembayaran kepada golongan warga emas sebelum menghabiskan masa sekurang-kurangnya dua jam setengah untuk bermain Candy Crush Saga menggunakan iPad itu, kata seorang saksi.

Mills, 40 dipilih sebagai Ahli Parlimen pada 2010 dengan memperoleh kemenangan dengan majoriti tipis sebanyak 536 undi.

Pada Ahad, dia mengakui tidak fokus ketika menghadiri mesyuarat itu kerana asyik bermain Candy Crush.

Beliau bagaimanapun mempertahankan bahawa dia sentiasa serius dalam menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.

Andy Silverster yang mewakili pertubuhan berkaitan pembayar cukai berkata: "Pembayar cukai tidak memilih wakil mereka di Parlimen hanya untuk bermain permainan video."

Ketika memberi maklum balas berhubung perkara itu kepada The Sun, Mills berkata: "Ia adalah mesyuarat yang panjang mengenai pembaharuan berkaitan pesara yang penting dan saya memberi perhatian serius mengenai isu ini.

"Bagaimanapun, ada ketikanya saya tidak fokus terhadap apa yang dibincangkan dan bermain satu atau dua permainan itu.

"Memang saya tidak patut berbuat demikian, tetapi jika kamu memeriksa sepanjang mesyuarat itu, saya bertanyakan soalan yang dianggap penting berkaitan isu pesara. Bagaimanapun, selepas ini saya akan cuba untuk tidak mengulangi perbuatan ini."

Mills yang juga seorang akauntan adalah seorang daripada 90 Ahli Parlimen yang menerima iPad percuma untuk membantu mereka menjalankan tugas.


Artikel Lain