suria

Taufan Hagupit: 2.5 Juta Penduduk Di Filipina Berpindah

Sebahagian penduduk yang dipindahkan di sebuah gereja di Tacloban, Filipina sebagai tempat perlindungan sementara berikutan taufan Hagupit. Foto EPA

TACLOBAN (Filipina): Jutaan penduduk di Filipina kini mula mencari perlindungan di gereja, sekolah dan pusat pemindahan pada Jumaat apabila taufan Hagupit bakal melanda negara itu.

Taufan itu yang melanda kuat di kepulauan Asia Tenggara tahun ini, dijangka memberi kesan kepada lebih separuh penduduk negara itu termasuk komuniti yang terjejas akibat taufan Haiyan tahun lalu.

Pihak berkuasa berkata, lebih 500,000 keluarga, atau kira-kira 2.5 juta penduduk di timur Filipina perlu dipindahkan berikutan ramalan taufan Hagupit yang melanda negara itu pada malam Sabtu atau Ahad.

"Semua orang kini dalam ketakutan," kata Rita Villadolid, 39, kepada AFP selepas bertemu dengan keluarganya dan beratus-ratus penduduk lain di dalam stadium sukan di Tacloban, yang merupakan salah satu bandar yang sedang dipulihkan selepas bencana taufan Haiyan.

Selain itu, bandar Leyte yang didiami seramai 220,000 orang mula memenuhi gereja dan sekolah dengan beg-beg berisi pakaian untuk dijadikan tempat perlindungan.

Haiyan, taufan yang paling kuat pernah direkodkan dengan kelajuan angin 315 kilometer sejam, mengakibatkan kematian atau kehilangan lebih 7,350 orang di tengah Filipina tahun lalu.

Pada Jumaat, taufan Hagupit dengan kelajuan 215 kilometer sejam sedang menghala ke Filipina dari Lautan Pasifik. - AFP

Artikel Lain