suria

Australia Batalkan Keputusan Asingkan Wanita Berpurdah Di Galeri Awam Parlimen

Speaker Parlimen Australia, Bronwyn Bishop.

SYDNEY: Satu rancangan kontroversi untuk mengasingkan wanita Islam yang berpurdah di galeri awam dalam bangunan Parlimen atas alasan keselamatan akhirnya ditarik balik selepas mendapat kritikan dan tentangan daripada pelbagai pihak termasuk kumpulan hak asasi manusia.

Sebelum ini pada 2 Oktober lalu, Speaker Dewan, Bronwyn Bishop dan Presiden Senat, Stephen Parry mencadangkan supaya pelawat yang memakai hijab diasingkan daripada galeri awam umum atas sebab keselamatan ekoran kemunculan sel-sel militan Negara Islam di Australia.

Pengasingan seumpama itu hanya dilakukan ke atas kanak-kanak sekolah yang melawat parlimen kerana khuatir mereka akan membuat bising dan menganggu perjalanan dewan.

Keputusan tersebut bagaimanapun telah mencetuskan perdebatan hangat dengan kumpulan hak asasi manusia dan kumpulan anti-diskriminasi kaum menentangnya.

Mereka meminta Perdana Menteri, Tony Abbott campur tangan dengan segera.

Pesuruhjaya Diskriminasi Kaum Australia, Tim Soutphommasane dalam reaksinya kepada agensi berita Fairfax Media berkata, keputusan seperti itu bermakna wanita Islam dilayan secara tidak adil daripada bukan Islam.

"Tidak ada siapa yang layak dilayan sebegitu rupa seolah-olah mereka adalah warganegara kelas kedua, apatah lagi di dalam bangunan parlimen," ujarnya.

Malah katanya, belum ada lagi mana-mana pakar atau pandangan yang menyebut atau mentakrifkan bahawa purdah atau tudung merupakan satu bentuk ancaman keselamatan kepada awam.

Penyokong Kelab Pembangkang di Parlimen, Tony Burke mengalu-alukan keputusan tersebut dengan menegaskan yang ia tidak sepatutnya disyorkan langsung.

"Apa yang mempengaruhi mereka untuk berfikir bahawa dengan mengasingkan pelawat yang memakai purdah adalah cadangan yang baik untuk keselamatan awam?" tanya Burke.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Parlimen Australia dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa keputusan untuk melarang pelawat mamakai purdah kini telah diubah.

Menurut kenyataan tersebut, kesemua pelawat kini hanya diminta "untuk seketika" menanggalkan purdah mereka bagi tujuan pemeriksaan keselamatan supaya pihak keselamatan bangunan parlimen dapat melihat wajah pelawat berkenaan dalam usaha untuk memastikan pelawat tersebut berada di dalam senarai mereka yang dilarang memasuki bangunan berkenaan.

"Selepas proses tersebut selesai dijalankan, para pelawat yang memakai purdah bebas bergerak di kawasan awam yang dibenarkan di dalam bangunan parlimen termasuklah galeri awam  tanpa perlu menanggalkan purdah mereka," jelas kenyataan itu lagi.

Australia, Bronwyn Bishop

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain