MH370: IATA Tangguh Cadangan Pengesanan Pesawat - Dunia | mStar

MH370: IATA Tangguh Cadangan Pengesanan Pesawat

TORONTO: Pasukan petugas yang mengkaji langkah untuk meningkatkan pengesanan pesawat selepas misteri kehilangan MH370, milik syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) menangguhkan cadangannya, mungkin sehingga Disember.


Jurucakap Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang mengetuai pasukan itu berkata, draf cadangan tidak akan dikemukakan kepada badan penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti yang dijangka sebelum ini.

Misteri kehilangan pesawat milik Malaysia pada Mac lalu mencetuskan desakan global supaya mewujudkan sistem yang mampu menentukan laluan tepat dan lokasi terakhir pesawat.

"Selepas satu kajian menyeluruh, dirumuskan bahawa kita memerlukan lebih banyak penjelasan mengenai cadangan dan panduan untuk pelaksanaannya," kata jurucakap IATA, Mona Aubin.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan apakah yang dimaksudkan dengan 'penjelasan' yang dikehendaki itu.

Beliau berkata, IATA kini menjangka untuk membawa cadangan itu kepada badan penerbangan PBB pada awal Disember.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Mei lalu menggesa badan itu menerima pakai pengesanan masa nyata pesawat awam dan beberapa langkah lain.

"Dalam zaman telefon pintar dan internet mudah alih, pengesanan masa nyata untuk pesawat lama sudah lama tertangguh," katanya menerusi soal jawab  Wall Street Journal.

Pada Mei lalu, anggota Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bersetuju mengenai keperluan pengesanan global.

IATA pula akan memasukkan juga cadangan pengesanan kepada anggota badan itu supaya melaksanakannya secara sukarela sebelum ICAO menetapkan standard piawaian industri yang mungkin mengambil masa beberapa tahun.

Ketua Pengarah IATA, Tony Tyler memberitahu persidangan industri di Montreal pada 19 September lalu bahawa draf cadangan itu akan dibentangkan kepada ICAO pada 30 September.

"Saya ingin memastikan bahawa jangkaan perlulah sesuai dengan apa yang akan dihasilkan. Ini tidak akan menjadi dokumen terakhir atau penyelesaian mudah," katanya seperti yang disiarkan di laman web IATA.

Carian antarabangsa selama enam bulan gagal menemui sebarang kesan pesawat MH370 itu.

Teknologi pengesanan yang lebih baik mungkin dapat membantu penyelamat dan penyiasat mengesan MH370 dengan cepat. Pesawat yang membawa 239 penumpang itu dipercayai terhempas di kawasan terpencil di Lautan Hindi.

Beberapa syarikat penerbangan sudah mengesan pesawat mereka di seluruh dunia tetapi prosedurnya adalah berbeza.

Peneraju industri penerbangan menyatakan pengesanan pesawat dalam masa nyata boleh meningkatkan harga tiket untuk penumpang.

Industri berkenaan juga mahu kerajaan menanggung sebahagian daripada kenaikan kos itu.

Penyiasat Perancis pula mengesyorkan pengesanan yang lebih baik selepas nahas pesawat Air France 447 pada 2009 di Lautan Atlantik. 

Artikel Sebelum

Enam Maut, Bas Tentera Diserang Di Kabul

Artikel Berikut

Jambatan Gantung Menakutkan Di Dunia

Artikel Berkaitan

Klik

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

Artikel Lain