suria

Kematian Luar Biasa Bapa Nicole Kidman Disiasat

Dr Tony ketika bersama Nicole pada Festival Filem di Palm Springs, California pada 12 September lalu.
SINGAPURA: Kematian luar biasa bapa aktres Nicole Kidman yang dilaporkan di republik ini pada malam Jumaat mendorong pihak polis mula menjalankan siasatan.


Polis berkata, berdasarkan maklumat, lelaki berusia dalam lingkungan 80-an itu meninggal dunia di hospital.

Bagaimanapun, siasatan perlu dijalankan kerana punca kematian pakar psikologi di University of Technology Sydney itu adalah luar biasa.

Malah, jurucakap hospital juga enggan mengulas lanjut mengenainya dan hanya memaklumkan ia kematian luar biasa.

Difahamkan, penggunaan terma kematian luar biasa di Singapura sering dikaitkan dengan kejadian terjatuh atau kemalangan lain.

Tony Kidman dikatakan datang ke Singapura untuk melawat adik bintang terkenal itu, Antonia yang menetap di republik berkenaan.

Sementara itu, Naib Canselor Profesor Attila Brungs universiti berkenaan dalam kenyataannya menyatakan rasa sedih atas kematian Dr Tony Kidman.

"Dalam tempoh 43 tahun di University of Technology, Sydney, Tony banyak menyumbang sebagai rakan sekerja, penyelidik dan pengamal perubatan," katanya.

Nicole dilahirkan di Hawaii dan dibesarkan di Australia. Beliau pernah membintangi filem 'Moulin Rouge' dan 'Cold Mountain' dan memenangi Oscar Pelakon Wanita Terbaik pada 2003 dengan lakonannya sebagai Virginia Woolf dalam filem 'The Hours.'

Dr Tony Kidman, Singapura

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain