suria

PM Perancis Bentuk Kabinet Baru

PM Perancis, Manuel Valls.

PARIS: Selepas sehari setengah bergelut menyusun kabinetnya semula, Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls mengumumkan pelantikan menteri ekonominya yang baru iaitu seorang yang pro-presiden bagi membantu membawa negara mereka keluar dari kemelut ekonomi dan tahap pengangguran tertinggi dalam sejarah.

Emmanuel Macron, bekas seorang eksekutif bank pelaburan telah diberikan tugas baru sebagai menteri ekonomi dalam kerajaan pimpinan Parti Sosialis Perancis.

Presiden François Hollande pada Isnin mengarahkan Valls melakukan rombakan kabinet bagi membolehkan mereka melantik seorang menteri ekonomi baru yang senada dan sekata dengan polisi yang parti itu ingin laksanakan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

Rancangannya itu ditentang oleh beberapa anggota kabinet Valls yang diketuai oleh menteri ekonomi sebelum ini iaitu Arnaud Montebourg yang mencemuh arah tuju pelan ekonomi Perancis yang baru serta mengkritik sikap Jerman sekaligus mencetuskan kemarahan kerajaan.

Montebourg menyatakan demikian dalam satu temuramah dengan akhbar berpengaruh, Le Monde yang disiarkan Sabtu lalu.

Tidak cukup dengan itu, dalam satu ucapan yang disampaikannya pada Ahad pula, Montebourg menegaskan yang beliau telah meminta Hollande dan Valls melakukan rombakan besar-besaran ke atas polisi ekonomi negara itu.

Hollande menganggap tindak-tanduk Montebourg itu sebagai tidak senada dengan polisi yang ingin dilaksanakannya untuk Perancis.

Hollande dan Valls percaya, rancangan mereka untuk mengurangkan cukai perniagaan sehingga 40 bilion euro (AS$55 billion) sebagai 'pertukaran' kepada aku janji daripada syarikat-syarikat gergasi yang mereka akan menawarkan 500,000 peluang pekerjaan baru dalam tempoh tiga tahun akan mampu mengatasi kegawatan ekonomi negara tersebut.

Menurut rancangan Hollande, pemotongan daripada kutipan cukai itu boleh di ofset dengan mengurangkan sehingga 50 bilion euro dalam perbelanjaan kerajaan tetapi rancangan itu mendapat tentangan daripada pemimpin-pemimpin parti termasuklah Montebourg yang percaya bahawa fokus harus ditumpukan kepada pengurangan cukai pendapatan untuk mengembalikan kuasa berbelanja konsumer.

Dalam kabinet barunya itu, Valls turut mengumumkan yang Menteri Kewangan, Michel Sapin, seorang penyokong kuat polisi Hollande, dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia akaun awam.

Pelantikan Macron dan tanggungjawab baru yang diberikan kepada Sapin dengan jelas sekali menunjukkan yang Hollande, mahu anggota kabinet kerajaannya terdiri daripada mereka yang selari dengan gagasan ekonomi yang ingin dilaksanakannya.

Hollande yang melantik Valls sebagai perdana menteri lima bulan yang lalu mahukan sebuah kabinet yang jelas akan hala tuju ekonominya dan juga kepaduan.

Valls sebelum ini telah berjanji kepada Hollande yang beliau akan memastikan rancangan ekonomi tiga tahun mereka akan dapat dilaksanakan tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana anggota dalam kabinetnya.

Selain Montebourg, turut disingkirkan dari kabinet ialah dua lagi 'pemberontak' dalam Kerajaan Sosialis itu ialah Menteri Pendidikan, Benoit Hamon dan Menteri Kebudayaan, Aurélie Filipetti.

Tempat Hamon diambil alih oleh ahli politik muda wanita, Najat Vallaud-Belkacem, 36, juga seorang penyokong kuat Hollande yang dahulunya mengetuai Kementerian Wanita, Belia dan Sukan.

Valls turut mengekalkan seorang pemimpin Parti Sosialis yang berhaluan kiri, Christiane Taubira, sebagai menteri undang-undang.

Manuel Valls, Hollande, Perancis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain