RAKYAT Palestin meraikan kemenangan mereka di Gaza apabila satu pertujuan dicapai antara Isarel dan Hamas untuk mengadakan gencatan senjata jangka panjang.
Berita gembira itu mengakhiri pergolakan berdarah selama tujuh minggu yang menyebabkan jumlah kematian paling tinggi dalam tempoh sedekad.
Persetujuan itu bermula pada pukul 1600 GMT, melibatkan pemberhentian segera ke atas keganasan di Gaza, yang berlaku sejak 8 Julai lalu dan dikatakan menyebabkan 2,143 rakyat Palestin terbunuh dan 69 di pihak Israel.
Rakyat Palestin berkata, ia merupakan gencatan senjata yang tetap, manakala seorang pegawai kanan Israel menyifatkan ia sebagai "tanpa syarat dan tanpa had masa".
Washington memberikan sokongan penuh kepada perjanjian itu.
"Kami amat menyokong pengumuman mengenai gencatan senjata itu," kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Jen Psaki.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon menyuarakan harapan bahawa gencatan senjata di Gaza akan menyediakan pentasi bagi perbincangan mengenai perjanjian damai peringkat akhir antara Israel-Palestin.
Di Gaza, ribuan membanjiri jalan-jalan bagi meraikan kemenangan itu, dan beberapa tembakan dilepaskan ke udara, yang dilakukan di kalangan pejuang Hamas bersenjata.
Sementara itu di masjid-masjid, mereka menggunakan pembesar suara bagi memaklumkan kesyukuran dan memuji kebesaran Allah berikutan perang yang berlanjutan selama tujuh minggu itu berakhir.
"Terima kasih Allah kerana perang ini sudah berakhir. Saya tidak percaya saya masih hidup bersama anak-anak saya," kata Maha Khaled, 32, kepada AFP.
"Ia merupakan peperangan yang amat kejam. Saya tidak pernah jangka kami akan dapat melihat semula keamanan," katanya.


