suria

Yingluck Nafi Larikan Diri Ke Luar Negara

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra menafikan dakwaan beliau mahu melarikan diri ke luar negara bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang berhubung cuai tugas dalam skim subsidi beras yang kini sudah dihentikan.

"Hari ini saya hanya rakyat biasa dan seharusnya mempunyai hak serta kebebasan seperti semua rakyat Thai. Saya dengan ini menegaskan tidak akan meninggalkan rakyat dan akan kembali ke Thailand," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Yingluck berkata beliau merancang perjalanannya ke Eropah dari 20 Julai hingga 10 Ogos ini sebelum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACC)
membuat keputusan untuk mendakwa beliau atas kesalahan cuai tugas dalam skim subsidi beras.

Beliau dijadual ke Eropah bersama anak lelakinya dan ini perjalanan ke luar negara pertamanya sejak disingkirkan menerusi rampasan kuasa oleh tentera pada 20 Mei lalu. 

Susulan berita tentang perjalanannya ke Eropah dan juga pendakwaan oleh NACC, timbul spekulasi beliau akan hidup dalam buangan di luar negara seperti abangnya Thaksin yang juga bekas Perdana Menteri Thailand.

NACC pada Jumaat memutuskan untuk mengusulkan Yingluck didakwa dan jika disabitkan kesalahan beliau boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun. 

Skim subsidi beras sangat popular dalam kalangan petani namun menyebabkan negara berbelanja besar iaitu dianggar lebih 500 bilion baht.
Yingluck, Thailand

Artikel Lain