suria

MH17: Mungkinkah Cubaan Bunuh Presiden Rusia Vladimir Putin?

SEMUA pesawat penumpang di seluruh dunia kini tidak melalui ruang udara timur Ukraine berikutan nahas Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah di wilayah itu.

Maklumat terbaharu mendedahkan bahawa pesawat Presiden Rusia, Vladimir Putin mungkin menjadi sasaran cubaan bunuh.

Laporan agensi berita Interfax menerusi beberapa sumber, pesawat MH17 menggunakan laluan penerbangan yang hampir sama dengan laluan yang digunakan oleh pesawat Putin sejurus sebelum nahas berlaku yang mengorbankan 298 orang.

"Saya boleh katakan bahawa pesawat Putin dan pesawat Boeing oleh Penerbangan Malaysia melalui laluan yang sama. Ia berhampiran dengan Warsaw pada ketinggian 10,100 meter. 

"Pesawat presiden itu berada di kawasan itu pada pukul 4.21 petang waktu Moscow dan pesawat Malaysia pada pukul 3.44 petang waktu Moscow," kata sumber berkenaan.

"Bentuk kedua-dua pesawat juga hampir sama, dengan dimensi garisan yang sama pada warnanya, menyebabkan mereka kelihatan sama jika dilihat dari jarak jauh," tambah sumber itu.

Pada masa sama, terdapat laporan yang bercanggah dengan laporan Intefax bahawa pesawat presiden tidak terbang di ruang udara Ukraine pada waktu yang sama.

Menurut sumber kepada portal berita Gazeta.ru, pesawat Putin berlepas dari terminal Vnukovo-3, tetapi presiden tidak melalui di kawasan konflik antara kerajaan Ukraine dan puak pemisah pro-Rusia

"Putin hanya mempunyai satu pesawat iaitu Board One, beliau tidak terbang menggunakan pesawat lain. Pesawat ini sentiasa berlepas dari Vnukovo-3, tetapi pesawat presiden sudah lama tidak terbang melalui Ukraine," kata sumber di terminal Vnukovo-3.

Ketika nahas berlaku membabitkan MH17, Putin dalam penerbangannya menggunakan pesawat presiden  dari Brazil ke Moscow selepas menghadiri satu sidang kemuncak.


Artikel Lain