suria

Obama Alu-Alukan Pelan Gencatan Senjata Mesir Di Gaza

Obama bercakap dalam majlis berbuka puasa di Dewan Makan Negara di Rumah Putih, Isnin.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pada Isnin menyambut baik cadangan gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza oleh Mesir, sambil mengharapkan ia boleh memulihkan ketenangan.

Dalam satu majlis berbuka puasa, Obama juga berkata Israel mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya terhadap serangan roket yang 'tidak dapat dimaafkan' tetapi menyifatkan kematian orang awam Palestin dalam konflik itu sebagai satu 'tragedi'.

Obama berkata demikian selepas Mesir berkata gencatan senjata harus bermula pada Selasa dan ia bersedia untuk menjadi tuan rumah delegasi peringkat tinggi antara Israel dan Palestin untuk mengadakan perbincangan selepas gencatan senjata telah berkuat kuasa.

Obama berkata keutamaan Washington adalah untuk memulihkan gencatan senjata antara Israel dan Hamas pada 2012 selepas letupan keganasan sebelumnya.

"Kita mengalu-alukan Mesir yang telah membuat cadangan untuk mencapai matlamat ini yang kita harap dapat mengembalikan ketenangan yang kita cari-cari," kata Obama dalam Dewan Makan Negara di Rumah Putih.

"Gambar-gambar yang kita lihat di Gaza dan di Israel adalah menyayat hati," katanya.

"Saya akan berkata dengan jelas, tidak ada negara boleh menerima roket dilancarkan sewenang-wenangnya terhadap penduduk awam. Kami juga sangat jelas bahawa Israel mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya daripada apa yang saya anggap sebagai serangan yang 'tidak dapat dimaafkan' dari Hamas."

"Pada masa yang sama...kematian dan kecederaan orang awam Palestin adalah satu tragedi, itulah sebabnya kita telah menekankan keperluan untuk melindungi orang awam tanpa mengira siapa mereka atau di mana mereka tinggal."

Jurucakap Jabatan Negara Jen Psaki berkata Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry telah "terlibat secara langsung dalam perbualan" dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pegawai-pegawai Mesir dan Presiden Palestin Mahmud Abbas berhubung krisis tersebut.

Sementara itu Seorang pegawai kanan Jabatan Negara berkata, sejak Sabtu, Kerry telah mengadakan perbincangan dengan Netanyahu sebanyak empat kali, dua kali dengan menteri-menteri luar Mesir dan Qatar dan sekali dengan menteri-menteri luar Turki dan Jordan.

Sekurang-kurangnya 186 rakyat Palestin terbunuh dalam pengeboman Israel di Gaza ketika konflik itu memasuki hari kelapan.

Israel berkata serangan udaranya adalah sebagai tindak balas kepada serangan roket Hamas ke atas bandar-bandar yang kebanyakannya telah dipintas oleh peluru berpandu pemintas Israel tanpa menyebabkan sebarang kematian.

Obama juga menggunakan majlis berbuka puasa itu untuk mengeluh mengenai saat-saat 'sukar' di Timur Tengah, termasuk 'kekejaman' rejim Presiden Bashar al-Assad di Syria dan bercakap tentang keperluan sebuah kerajaan baharu yang boleh menyatukan rakyat Iraq untuk menghadapi cabaran daripada pelampau Sunni.

Artikel Lain