suria

Rambut Bayi Statik Selepas Dilahirkan Ketika Ibunya Dipanah Petir

Kimberly masih berada dalam kandungan ketika ibunya Kendra Villanueva dipanah petir Julai tahun lalu. -foto KOAT/ABC
IBU bapanya memanggilnya sebagai 'si kecil Flash Gordon' selepas berlaku keajaiban di mana bayi ini selamat dilahirkan dalam saat-saat cemas apabila ibunya dipanah petir, Julai lalu.

Berusia satu tahun, Kimberly Gordon terselamat daripada panahan kilat yang terkena ibunya semasa pesta bunga api sambutan Hari Kemerdekaan di New Mexico.

Tetapi sejak itu dia mempunyai rambut yang kekal statik.

Bapanya, Ian Gordon, memberitahu ABC News bahawa teman wanitanya, Kendra Villanueva, melahirkan bayi mereka dua minggu lebih awal dari tarikh sebenar seperti yang dijadualkan gara-gara teman wanitanya dipanah petir semasa hujan lebat.

Dipercayai petir telah terkena bahagian telinga Kimberly  sebelum dilahirkan oleh Kendra.

Pasangan itu telah dikejarkan ke hospital University of New Mexico di mana Kendra telah melahirkan Kimberly dengan selamat.

Selepas setahun berlalu, Kimberly bagaimanapun masih mempunyai kerosakan saraf akibat panahan kilat.

Dia tidak boleh duduk, merangkak atau mencerna makanan dengan sempurna.

Doktor mengakui bahawa mereka tidak tahu bila dia akan mula berjalan dan bercakap serta tidak tahu mengapa rambutnya masih statik.

Tetapi, bagi Ian dan Kendra mereka sangat lega apabila bayi mereka terselamat dalam kejadian mengejutkan itu.

"Semua orang yang berkata adalah satu keajaiban apabila dia masih hidup," kata Ian.

Juruteknik perubatan kecemasan yang merawat pasangan itu dilaporkan memberitahu mereka bahawa berdasarkan rekod, terdapat hanya 11 kejadian di mana wanita hamil disambar kilat.

Daripada 11 rekod itu, beliau berkata, hanya separuh daripada bayi yang terselamat.

Ian kini berharap berlaku keajaiban terhadap bayi 'Flash Gordon' kesayangannya agar dia dapat membesar dengan pantas, atau menyelamatkan alam semesta.

"Sekarang dia sudah mempunyai rambut superhero," katanya.
dipanah kilat, petir, rambut statik

Artikel Lain