suria

Penerbangan Di Darwin Diteruskan, Asap Gunung Berapi Berkurangan

Gunung Berapi Sangeang Api
MELBOURNE: Kebanyakan penerbangan keluar masuk di lapangan terbang Darwin akan disambung semula tengah hari Ahad selepas dibatalkan semalam ekoran asap tebal dari letusan gunung berapi di Indonesia, lapor ABC News.

Gunung berapi Sangeang Api yang terletak di timur laut pantai Sumbawa meletup sejak Jumaat lalu yang turut menyebabkan asap tebalnya bertiup ke arah Kimberley dan Top End.

Keadaan ini menyebabkan syarikat penerbangan terpaksa membatalkan kebanyakan penerbangan keluar masuk mereka di Darwin semalam dan awal hari ini menyebabkan penumpang terkandas.

Di Perth, penumpang yang mahu ke Bali, Indonesia turut terlibat dengan pembatalan penerbangan.

Pusat Nasihat Abu Gunung Berapi (VAAC) memberi taklimat kepada syarikat penerbangan pagi ini dan berkata angin kuat di asmofera telah membantu menipiskan asap.

Qantas mengesahkan penerbangan pertamanya Ahad yang dijadual ke Darwin dijangka mendarat sebelum 1 petang sementara penerbangan pertama Jetstar dijangka tiba kira-kira 4 petang.

Virgin Australia berkata, ia menjangka penerbangan pertamanya mendarat pada 4.30 petang sementara yang meninggalkan Darwin pada pukul 5 petang.

Namun maklumat di laman web Lapangan Terbang Darwin menunjukkan sesetengah penerbangan masih dibatal.




Sangeang Api, Indonesia, Darwin, Sumbawa

Artikel Lain