suria

Menteri Agama Indonesia Letak Jawatan

Suryadharma Ali

JAKARTA: Menteri Agama Indonesia Suryadharma Ali hariini meletak jawatan sebagai menteri kabinet selepas didakwa terbabit dalam skandal penyalahgunaan dana haji.

Suryadharma yang juga Ketua Umum Parti Persatuan Pembangunan (PPP), membuat keputusan itu dalam pertemuannya dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dan Naib Presiden Indonesia, Boediono di Istana Bogor, Jawa Barat pada Selasa.

Suryadharma adalah tokoh berprofil tinggi terbaharu, yang didakwa terlibat dalam rasuah seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) Indonesia kerana terbabit dalam skandal melibatkan agensi pengurusan dan pengendalian dana haji bagi 2012–2013. 

Sebelum ini, KPK dalam kenyataan mendakwa terdapat keraguan dalam urusniaga bernilai AS$20 juta (RM64 juta) yang merangkumi dana kerajaan serta wang simpanan umat Islam yang mahu menunaikan rukun Islam kelima itu. 

Dakwaan tersebut menimbulkan perasaan marah dan kecewa dalam kalangan rakyat kerana majoriti dari 234 juta penduduk negara itu adalah penganut agama Islam.  -

Umat Islam di Indonesia perlu membuat simpanan dalam dana khas tabung haji bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah tersebut, dengan sebahagian besar mereka terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan kuota menunai haji. 

Penglibatan Suryadharma dalam isu rasuah terbaharu itu juga dilihat pemerhati politik bakal menjejas peluang calon presiden, Prabowo Subianto yang mendapat sokongan daripada parti politik Islam pimpinan Suryadharma itu.  

Siasatan KPK mendapati terdapat beberapa salah laku dalam beberapa urusan pengendalian haji termasuk kos mengerjakan haji, penempatan jemaah di Tanah Suciserta cara pemilihan jemaah dilakukan. 

Media tempatan pula melaporkan, dakwaan lain yang turut dikaitkan dengan Suryadharma ialah beliau membantu hampir 100 orang termasuk saudara-mara dan wakil rakyat menggunakan "jalan pintas" untuk mendapatkan peluang mengerjakan haji tanpa perlu menunggu bertahun-tahun seperti yang dilalui sebilangan besarumat Islam Indonesia. 

Pada masa ini, Suryadharma masih kekal memimpin parti politik namun KPK tidak membenarkan beliau ke luar negara bagi membolehkan siasatan dijalankan. 

Suryadharma adalah menteri kedua dalam kabinet Susilo yang meletak jawatan selepas Menteri Belia dan Sukan, Andi Malaranggeng yang turut didakwa dalam kes rasuah pada 2012. 

Suryadharma sebelum ini dipetik sebagai berkata, beliau tidak akan meletakjawatan hanya kerana dikaitkan dalam skandal rasuah itu.

Artikel Lain