suria

Kumpulan Anti-Kerajaan Terus Desak Reformasi

BANGKOK: Enam penyokong antikerajaan cedera dalam pertempuran dengan polis tengah hari ini, sementara di Parlimen pemimpin kumpulan antikerajaan Suthep Thaugsuban menyerahkan surat meminta senator yang bersidang hari ini membantu mencari penyelesaian konflik politik itu.

Suthep yang datang bersama-sama sekutunya menyerahkan surat itu kepada pemangku Speaker Senat Surachai Liengboonlertchai.

Mereka menuntut speaker baharu dilantik agar beliau boleh berperanan sebagai presiden Parlimen dan menamakan perdana menteri baharu.

Suthep dan pengikutnya turut ke Rumah Kerajaan bagi menyatakan desakan agar reformasi dilaksana sebelum pilihan raya umum diadakan.

Malam ini, penunjuk perasaan termasuk Suthep akan berada di Rumah Kerajaan yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri namun sudah tidak diguna sejak berbulan lalu.

Kumpulan-kumpulan lain akan bermalam di sekurang-kurangnya enam lokasi dalam satu gerakan besar-besaran yang mendapat nafas baharu susulan pemecatan bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Sementara itu konfrontasi antara penunjuk perasaan yang dipimpin sami, Buddha Issara dan polis tengah hari ini berlaku di hadapan pejabat Pusat Pentadbiran bagi Keamanan dan Ketenteraman yang terletak di Kelab Sukan Polis di sini.

Konfrontasi bagaimanapun tidak lama apabila Buddha Issara dan penyokongnya kembali ke kawasan perhimpunan di Kompleks Kerajaan di Chaengwattana lebih awal daripada yang dirancang susulan khabar angin bahawa ada penyokong kerajaan Baju Merah akan ke kompleks itu.

Bagaimanapun perkara itu tidak benar.

Dengan angka terbaharu hari ini menjadikan jumlah yang cedera akibat krisis politik di Thailand sejak 30 Nov tahun lepas meningkat kepada 757 orang dengan lima masih dirawat di hospital.

Angka kematian kekal pada 22 menurut Pusat Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Erawan milik Pentadbiran Metropolitan Bangkok.

Konflik politik Thailand masih di jalan buntu di sebalik pemecatan Yingluck memandangkan kabinet sementara masih mengandungi anggota Pheu Thai Party dan sekutunya.

Sejak keputusan mahkamah berkenaan Yingluck pada Rabu, sekurang-kurangnya empat serangan bom berlaku dengan satu di rumah hakim Mahkamah Perlembagaan.

Kumpulan pembangkang menjangka apabila Yingluck didapati bersalah oleh Mahkamah Perlembagaan, seluruh kabinet akan diganti dengan mereka yang tidak rapat dengan Yingluck dan abangnya Thaksin yang juga bekas Perdana Menteri.

Sementara itu, kumpulan prokerajaan Baju Merah akan memulakan perhimpunan besar-besaran mereka di Jalan Aksa di pinggir Bangkok esok.



reformasi, Thailand, Yingluck

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain