suria

Ratu Atut Digantung Tugas Akibat Rasuah

Ratu Atut

JAKARTA: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dijangka menandatangani surat pelucutan jawatan sementara Ratu Atut Chosiyah sebagai gabenor Banten selepas didakwa memberi rasuah kepada hakim kanan republik itu berhubung kes pertikaian pilihan raya.

Jurucakap Presiden, Julian Aldrin Pasha, berkata surat khusus untuk gabenor wanita pertama republik itu akan dikemukakan dalam masa terdekat.

"Surat pergantungan tugas Ratu Atut sudah disampaikan kepada Presiden Yudhoyono dan diharap ia akan ditandatangani," katanya kompleks Istana Presiden, Khamis.

Ratu Atut, 51, kini dibicarakan atas tuduhan rasuah selepas didakwa memberi habuan kepada Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan Akil Mochtaritu bagi memihak kepadanya dalam pertikaian pilihan raya.

Akil turut ditahan pihak berkuasa berhubung kes berkenaan.

Keluarga Atut menguasai kekayaan Banten dengan mentadbir lima daripada lapan daerah di wilayah berkenaan.

Ia adalah satu daripada dinasti politik yang muncul di Indonesia sejak Suharto digulingkan melalui gerakan reformasi pada 1998.

Atut, dituduh bersama adiknya Tubagus Chaeri Wardana memberi habuan Rp1 bilion (RM282,000) kepada Akil bagi mendorong hakim terbabit membatalkan keputusan pilihan raya tempatan.

Dalam pemilihan itu keputusan pemilihan tidak memihak kepada calon sekutu Atut.

Atut berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun jika sabit kesalahan.

Artikel Lain