suria

MERS-CoV: Arab Saudi Henti Visa Umrah

MEKAH: Beberapa agensi perkhidmatan haji dan umrah di Arab Saudi berhenti menerima permohonan visa bagi jemaah kanak-kanak serta individu berusia lebih 60 tahun berikutan amaran Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengenai jangkitan Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV).

Media tempatan melaporan Presiden Jawatankuasa Haji dan Umrah, Dewan Perundangan Perdagangan dan Industri Mekah, Saad al-Quraishi menjelaskan, pihaknya juga akan berhenti menyediakan visa haji kepada jemaah yang belum mendapatkan vaksin melawan penyakit selesema yang lain.

Penyebaran jangkitan MERS-CoV di wilayah barat Arab Saudi, khususnya Mekah, Madinah dan Jeddah menyebabkan banyak agensi perkhimatan haji dan umrah menolak permohonan visa warga emas, walaupun kerajaan belum mengeluarkan keputusan rasmi berhubung hal itu.

Keputusan rasmi dijangka dikeluarkan dua bulan selepas bulan Ramadan.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 18 kes baharu MERS-CoV serta empat lagi kematian dilaporkan pada Sabtu di negara ini.

Jumlah itu meningkatkan korban akibat jangkitan berkenaan kepada 111 orang sejak 2012.

Pihak Berkuasa Palestin Jumaat lalu menasihatkan rakyatnya yang ingin menunaikan haji atau umrah pada tahun ini supaya menangguhkan ibadah itu berikutan jangkitan MERS-CoV.

Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan, Asaad Ramlawi berkata, gesaan itu dibuat terutamanya bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun, wanita mengandung, warga emas melebihi 65 tahun serta individu yang menghidap penyakit kronik.




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain