suria

Parti Politik Thailand Bertemu Pastikan Pilihan Raya Lancar

BANGKOK: Parti-parti politik Thailand akan mengadakan perjumpaan pada Selasa untuk berbincang mengenai tarikh pilihan raya dan langkah yang perlu diambil untuk memastikannya berjalan lancar.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya, Somchai Srisitthiyakorn berkata lebih 60 parti politik akan menghadiri mesyuarat itu bagi membincangkan perkara berkaitan pilihan raya baharu yang bakal diadakan.

Perjumpaan itu akan disiarkan secara langsung oleh dua saluran televisyen dan wakil setiap parti akan diberi masa satu minit setengah untuk bercakap.

Ini disusuli dengan hujahan wakil kumpulan yang menyokong pilihan raya diadakan segera dan kumpulan yang mahu ia ditangguhkan, yang masing-masing diberi masa setengah sejam untuk berbuat demikian.

Pilihan raya umum pada 2 Feb tahun ini diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Perlembagaan kerana ia tidak diadakan pada hari yang sama di seluruh negara selepas para penunjuk perasaan menyekat urusan pendaftaran calon bagi berpuluh kerusi yang dipertandingkan.

Pemimpin dua parti utama, Jarupong Ruengsuwarn daripada parti pemerintah, Pheu Thai, dan bekas perdana menteri Abhisit Vejjajiva daripada parti pembangkang utama, Parti Demokrat, mengesahkan kehadiran mereka esok.

Pheu Thai berulang kali menggesa supaya pilihan raya diadakan secepat mungkin sebagai cara terbaik untuk mengatasi konflik politik yang wujud sekarang.Parti itu meminta pilihan raya diadakan pada Jun manakala Suruhanjaya Pilihan Raya pula mahu ia diadakan pada akhir Julai.

Parti Demokrat memulau pilihan raya umum lepas dan tidak memberi komitmen untuk menyertainya, terutamanya kerana tidak bersetuju Yingluck Shinawatra terus menyandang jawatan perdana menteri.

Thailand mengalami kelompongan politik dan pentadbiran hampir enam bulan berikutan kedudukan Yingluck sebagai perdana menteri sementara, yang hanya mempunyai kuasa terhad untuk mentadbir negara.

Suthep Thuagsuban, pemimpin Jawatankuasa Pembaharuan Demokrasi Rakyat (PDRC) yang antikerajaan dan sekutunya telah mengadakan bantahan di Bangkok sejak beberapa bulan lepas untuk mendesak supaya pembaharuan dilakukan sebelum pilihan raya baharu diadakan selain mahu Yingluck disingkirkan sebagai perdana menteri sementara.

Para penunjuk perasaan masih berkampung di hadapan kompleks kerajaan di daerah Chaengwattana dengan diketuai sami Bhudda Issara, manakala Suthep pula mengetuai satu kumpulan yang berkampung di Lumpini Park.

Sementara itu, kumpulan prokerajaan 'United Front for Democracy against Dictatorship' yang lebih dikenali sebagai Baju Merah dan kumpulan antikerajaan yang diketuai Suthep kini mengumpul penyokong untuk mengadakan perhimpunan apabila Mahkamah Perlembagaan menyampaikan keputusannya pada akhir bulan ini mengenai kes terhadap Yingluck berhubung pertukaran bekas ketua Majlis Keselamatan Negara, Thawil Pilensri.

Sekiranya mahkamah memutuskan pertukaran itu tidak sah, Yingluck boleh dipecat daripada jawatannya dan ini akan menambahkan lagi keadaan tidak menentu di negara ini.
Politik Thailand

Artikel Lain