suria

Angka Korban Feri Karam Di Korea Meningkat Kepada 25 Orang

Operasi mencari mangsa yang masih hilang diteruskan pagi Jumaat.
JINDO: Angka korban tragedi feri karam di perairan Korea Selatan meningkat kepada 25 orang pagi Jumaat.

Daripada 475 penumpang dan anak kapal yang berada dalam Feri Sewol yang karam Rabu lalu, 179 disenaraikan sebagai selamat manakala 271 lagi masih hilang.

Pihak berkuasa Korea Selatan akan meneruskan operasi menyelamat awal pagi Jumaat dan mengerahkan kira-kira 500 penyelam ke kawasan insiden.

Feri Sewol yang karam di perairan Korea Selatan, Rabu lalu.

Penyelam berdepan dengan ombak yang kuat dan air pasang besar sehingga gagal untuk masuk ke dalam feri yang kini tertangkup sepenuhnya di dalam laut.

Feri mula tenggelam pada Rabu ketika dalam perjalanan dari Pelabuhan Incheon ke pulau peranginan popular, Pulau Jeju.

Pegawai pengawal pantai Korea kini menumpukan siasatan mengenai kemungkinan kecuaian kru kapal dan kerosakan pada struktur feri walaupun kapal itu dilaporkan sudah melepasi pemeriksaaan keselamatan dan insurans.

Kapten feri, Lee Joon-seok, kini berdepan siasatan jenayah mengikut undang-undang Korea Selatan.

Ahli keluarga dan waris mangsa yang maut menyalahkan kapten dan syarikat feri di atas kecuaian tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Lain