suria

Jepun Ucap Selamat Tinggal Kepada Boeing Super Jumbo 747

Salah sebuah pesawat Boeing 747 milik All Nippon Airways yang diwarnakan dengan karakter Pokemon. Perkhidmatan pesawat model itu akan dihentikan mulai Isnin depan.
TOKYO: Jepun akan mengucapkan selamat tinggal kepada pesawat Boeing 747 yang akan menamatkan perkhidmatannya di negara matahari terbit itu Isnin depan.
Ketika ia pertama kali diperkenalkan pada 1970, pesawat ini yang dikenali sebagai 'super jumbo' adalah merupakan pesawat penumpang yang terbesar di dunia.

Bagaimanapun, dengan munculnya pesawat era baru yang diperbuat daripada bahan komposit yang lebih ringan, lebih kuat dan menjimatkan bahan api, 747 mendapati ia menjadi semakin terkebelakang dan ketinggalan zaman.

Isnin ini, pesawat dua dek itu yang sentiasa dikenali kerana kepalanya yang berbonggol besar dan kelihatan gagah akan membawa para pelancong All Nippon Airways dari Naha, di Okinawa ke Lapangan Terbang Haneda Tokyo untuk kali yang terakhir sebelum dibersarakan.

Jet sepanjang 70 meter panjang dan 60 meter lebar itu pertama kali digunakan di Jepun oleh Japan Airlines (JAL) pada 1970.

Ketika ia sedang berada di puncak kehebatannya, syarikat-syarikat penerbangan Jepun yang merupakan pelanggannya nombor satu memiliki sehingga 120 buah pesawat model itu dan setiap satu mampu menerbangkan sehingga 500 orang penumpang.

Tetapi pada masa yang sama model ini juga mempunyai sejarah hitamnya sendiri.

Pada 1985, JAL penerbangan 123, yang sedang dalam penerbangan dari Tokyo ke Osaka dengan membawa 524 penumpang, terhempas 120 kilometer di barat Tokyo, mengorbankan kesemua melainkan empat penumpang sahaja.

Kebanyakan pengemar pesawat Boeing telah menukar model 747 kepada 787 Dreamliner, pesawat berbadan sederhana tetapi mampu terbang jarak jauh.

Walaupun begitu, Boeing 747 masih lagi menjadi pesawat komersil popular di serata dunia walaupun produksinya telah dihentikan.

Artikel Lain