suria

Rusia Kuasai Sepenuhnya Semenanjung Crimea Dari Tangan Ukraine Selepas Ketua Turus Angkatan Laut Berpaling Tadah

Penunjuk perasaan pro Rusia melakukan demonstrasi di hadapan bangunan pentadbiran di Donetsk. Menurut pegawai sempadan Ukraine, pasukan dan pesawat tentera Rusia kini memasuki Crimea tanda menguasai kawasan itu. Foto AFP

KIEV: Rusia kini menguasai sepenuhnya semenanjung Crimea dari tangan Ukraine tanpa melepaskan walau sebutir peluru pun dengan tindakan Ketua Turut Angkatan Laut Ukraine yang berpangkalan di situ berpaling tadah.

Ini adalah situasi paling tegang antara Rusia dengan Barat yang pernah disaksikan oleh benua Eropah sejak bermulanya Perang Dingin.

Sebagai reaksi kepada apa yang sedang berlaku di Eropah itu, harga minyak telah meningkat naik.

Rusia telahpun menghantar ketumbukan tentera menyeberangi sempadan ke wilayah Crimea dan timur Ukraine yang mereka dakwa sebagai tindakan untuk melindungi etnik Rusia yang merupakan warga majoriti di situ.

Crimea adalah semenanjung yang mengadap Laut Hitam pada asalnya adalah wilayah Rusia yang dihadiahkan kepada Ukraine sebagai menghargai sokongan dan persahabatan Ukraine untuk menyertai Kesatuan Soviet pada tahun 1950an dahulu.

crimea

Peta Crimera.

Bagaimanapun apabila empayar Soviet musnah pada tahun 1991, Ukraine mengisytiharkan kemerdekaan yang tidak dibantah oleh Persekutuan Rusia dengan syarat mereka terus membenarkan kehadiran pangkalang tentera laut Rusia di Crimea.

Tetapi hubungan Ukraine dengan Rusia menjadi tegang apabila kerajaan pusat Ukraine yang pro-Rusia telah ditumbangkan minggu lalu oleh kumpulan pro-Barat lalu mendorong Rusia untuk menceroboh masuk ke semenanjung Crimea yang didiami secara majoritinya oleh etnik Rusia.

Kerajaan Rusia melihat kerajaan sementara yang berkuasa di Kiev diterajui oleh pelampau nasionalis yang mungkin melakukan penindasan ke atas etnik Rusia di timur negara itu atau di semenanjung Crimea.

Canselor Jerman yang bimbang dengan perkembangan terkini di semenanjung itu telah menghubungi Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Dalam perbualan itu, Putin memberi jaminan kepada Canselor Angela Merkel pada Ahad yang pihak Rusia akan mewujudkan kumpulan penghubung Ukraine.

Anggota-anggota Perjanjian Atlantik Utara atau Nato turut menegaskan yang satu kumpulan pemerhati antarabangsa perlu diwujudkan dengan segera di Ukraine untuk memantau perkembangan semasa.

Rusia tidak memberikan sebarang respon segera.

Sementara itu Crimea yang menjadi pangkalan utama angkatan laut Rusia sejak abad ke-18 lagi kini berada sepenuhnya di bawah kawalan Rusia dan pihak militia yang pro-Rusia.

Mereka telah menawan bangunan parlimen kerajaan autonomi Crimea, lain-lain bangunan utama kerajaan dan juga lapangan terbang antarabangsa Crimea.

Yang memberi tamparan paling hebat ke atas kerajaan interim Ukraine yang berkuasa di Kiev ialah tindakan Ketua Turut Angkatan Laut Ukraine, Laksamana Denis Berezovsky yang baru sahaja dilantik ke jawatan tersebut berpaling tadah dengan mengisytiharkan sokongannya ke atas Rusia.

Beliau bertindak demikian selepas pihak militia yang pro-Rusia mengepung dan menawan bangunan Ibu Pejabat Tentera Laut Ukraine di Crimea dan memotong bekalan elektrik ke bangunan berkenaan.

Pemimpin Kerajaan Autonomi Crimea yang diangkat Kremlin, Sergiy Aksyonov - yang tidak diiktiraf oleh Kiev - kemudiannya dengan segera mengumumkan pelantikan Berezovsky sebagai Ketua Turut Angkatan Laut Crimea yang baru.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Kerajaan Interim Ukraine, Arseniy Yatsenyuk menegaskan pada Ahad: "Negara ini kini sedang berada di ambang malapetaka...dan sebarang pencerobohan oleh kuasa luar adalah sama dengan bermaksud mahu berperang." 

crimea, ukraine, rusia

Artikel Lain