suria

Bekas Menteri Luar Republik Czech Anggap Tindakan Putin Ke Atas Ukraine Sama Seperti Hitler Pada Tahun 1930an Ke Atas Negaranya

Vladimir Putin. Foto AFP

VIENNA: Tindakan Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan pencerobohan tenteranya ke semenanjung Crime di Ukraine Sabtu lalu tidak ubah sepertimana Adolf Hitler menjustifikasikan tindakan Nazi menawan Timur Eropah pada lewat tahun 1930an dahulu.

"Apa yang sedang berlaku di semenanjung Crimea di Ukraine sekarang tidak ubah seperti apa yang dilakukan Adolf Hitler di timur dan tengah Eropah dipenghujung tahun 1930an dahulu," kata bekas Menteri Luar Republik Czech, Karel Schwarzenberg dalam temuramah dengan akhbar harian Austria, Osterreich.

"Saya melihar sejarah berulang kembali...," katanya lagi.

Putin tegasnya, sedang bertindak atas prinsip yang sama yang digunakan oleh Adolf Hitler untuk menawan Austria, Czechoslovakia dan Poland pada 1938 dan 1939.

Putin telah meminta kebenaran parlimen Rusia untuk menghantar ketumbukan tentera menyeberangi semenanjung Crimea di Ukraine pada Sabtu lalu dengan alasan untuk melindungi etnik Rusia di Crimea dan timur Ukraine daripada menjadi mangsa opresi kumpulan ultra-nasionalis Ukraine yang telah mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat dari tangan kerajaan pro-Rusia seminggu lalu.

Ukraine dan Rusia berkongsi sejarah dan budaya yang sama dan mereka juga adalah dari puak Slavik yang mendominasi timur Eropah.

"Tetapi oleh kerana dia (Putin) mahu menjustifikasikan tindakannya mencerobohi Crimea, dia memerlukan alasan yang kukuh dan alasan itu adalah untuk memberi perlindungan kepada kompatriotnya yang mungkin menjadi mangsa penindasan," kata bekas menteri luar yang berusia 76 tahun itu lagi.

Schwarzenberg menambah, apa yang sebenarnya berlaku ialah tiada seorang pun warga dari etnik Rusia di semenanjung Crimea, yang mana mereka adalah warga majoriti berhadapan dengan diskriminasi.

"Apabila Hitler mahu menceroboh Austria, dia juga berkata yang bangsa Jerman di negara itu menjadi mangsa opresi," tegas Schwarzenberg.

Tetapi menurut Schwarzenberg, Eropah patut memberitahu Putin dengan jelas yang tindak-tanduknya itu adalah satu pencerobohan dan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa yang tidak harus dibenarkan sama sekali.

Schwarzenberg berkhidmat sebagai menteri luar Republik Czech dari 2007-2009 dan kemudian sekali lagi dari 2010-2013.

Sejarah membuktikan yang Hitler menceroboh dan kemudian menawan Utara Czechoslovakia dan selepas itu disusuli dengan penawanan seluruh utara dan barat Eropah pada tahun 1938 dengan alasan untuk melindungi populasi etnik Jerman di negara-negara berkenaan.

Pada tahun berikutnya, bala tentera Nazinya menawan seluruh Czechoslovakia.

Austria menjadi sebahagian daripada jajahan the Third Reich menjelang Mac 1938.

Artikel Lain