suria

Virus Polio Kembali Ancam Afghanistan Selepas 13 Tahun

KABUL: Afghanistan melancarkan kempen kecemasan suntikan vaksin polio di Kabul selepas seorang budak perempuan dijangkiti penyakit itu, ia merupakan kes yang pertama sejak Taliban digulingkan pada 2001.

Budak perempuan berusia tiga tahun yang berasal dari keluarga kaum Nomad di timur laut bandar itu disahkan terkena jangkitan itu selepas dimasukkan ke hospital di negara jiran Pakistan, kata jurucakap untuk kementerian kesihatan awam Afghanistan pada Selasa.

Jurucakap itu, Kaneshka Baktash Turkistani memberitahu AFP bahawa tidak dipastikan sama ada budak perempuan itu terkena jangkitan virus itu di Kabul atau Pakistan.

Virus polio terus menjadi penyakit endemik di kedua-dua negara, tetapi bandar Kabul tidak melaporkan sebarang kes berkaitan penyakit itu sejak rejim Taliban digulingkan oleh serangan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) lebih sedekad yang lalu.

Selain Afghanistan dan Pakistan, Nigeria merupakan satu lagi negara di dunia, di mana jangkitan polio yang melumpuhkan kanak-kanak masih lagi menjadi penyakit endemik. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain