suria

Ekonomi India Semakin Berkembang Walaupun Perlahan

NEW DELHI: Ekonomi India mulai mencatatkan pertumbuhan, meskipun pada kadar perlahan, selepas menyaksikan pertumbuhan negatif selama dua setengah tahun, tetapi negara ini akan mengambil masa yang panjang sebelum ia berkembang pada potensinya, kata Moody's.

Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangkakan dalam jajaran 5-5.5 peratus dalam 2014, sebelum meningkat kepada enam peratus pada 2015, katanya.

"Aliran berita berita buruh yang berpunca dari ekonomi India akhirnya mulai reda. Di luar negara, ekonomi global semakin stabil, dengan pertumbuhan lebih baik dijangkakan dalam 2014. Eksport India sudah pun mulai meningkat.

"Di dalam negara, risiko menyusut yang semakin berkurangan, gabenor bank pusat yang lebih berwibawa, dan prospek kerajaan yang lebih baik selepas pilihan raya Mei ini telah meningkatkan keyakinan perniagaan dan pelabur," kata Moody's Analytics dalam rencana terbarunya, "India Outlook: Steady Growth, Lower Risk."

Peningkatan yang paling ketara ialah tentang defisit luar negara India, katanya. Sekatan ke atas import emas, seiringan pertumbuhan eksport yang semakin baik dan permintaan domestik yang lembap, telah membantu merapatkan jurang defisit perdagangan dan akaun semasa.

Defisit akaun semasa susut kepada 1.2 peratus KDNK dalam suku ketiga 2013, dan ini merupakan defisit terkecil dalam tempoh beberapa tahun.

"Ini mungkin tidak kekal...pengimport emas akan mencari jalan untuk mengelak peraturan baharu itu dan permintaan import akan pulih akhirnya tetapi ia telah memberikan kelegaan dalam masa terdekat ini dan menambah baik kedudukan India dalam senarai mata wang paling mudah terjejas kepada langkah-langkah pengurangan rangsangan ekonomi Rizab Persekutuan AS," katanya.

Kadar inflasi yang lebih rendah akan juga membantu meningkatkan keyakinan perniagaan dan membataskan risiko penurunan nilai mata wang.

Pertumbuhan pengukuran harga borong yang dipantau rapi susut daripada 7.5 peratus, tahun ke tahun, pada November kepada 6.2 peratus pada Disember apabila kadar inflasi harga makanan turun.

Inflasi teras terus rendah dan Moody's menjangkakan inflasi harga borong terus turun dalam enam bulan pertama 2014 apabila inflasi makanan susut dengan hasil tanaman yang lebih baik.

Ukuran harga pengguna, yang diperbaharui pada 2011 untuk mencerminkan arah aliran pengguna dengan lebih baik lagi, masih tinggi dan menyukarkan pembuat dasar monetari.

Pertumbuhan Indeks Harga Pengguna (IHP) seharusnya merosot pada 2014 apabila inflasi harga makanan turun dan permintaan terus kukuh kerana kekurangan bekalan, katanya.

Mentari Kewangan India, P. Chidambaram, berjaya mengawal defisit fiskal 2012-2013 tetapi gagal mengulangi kejayaan itu dalam tahun kewangan semasa yang berakhir pada Mac 2014.

Defisit belanjawan hampir mencecah sasaran setahun penuhnya menjelang November dan tidak mungkin bertahan di bawah paras penurunan sasaran kerajaan pada 4.8 peratus KDNK.

Moody's berkata ada kecenderungan bagi kerajaan pimpinan Kongres sekarang menggunakan wang bagi menarik pengundi menjelang pilihan raya Mei ini.

"Kami menjangkakan ekonomi India bertambah baik dalam dua tahun akan datang, tetapi pada kadar yang berkemungkinan perlahan dan agak mengecewakan bagi perniagaan dan pembuat dasar.

"Tidak ada penyelesaian segera bagi kelesuan yang wujud sekarang, tetapi persekitaran dunia yang semakin baik, risiko menyusut yang semakin berkurangan, dan dasar-dasar negara yang lebih baik seharusnya dapat meningkatkan keyakinan dan permintaan," tegasnya.

Kata Moody's peningkatan ini pada permulaannya akan didorong oleh eksport, yang mulai pulih dari pertengahan 2013, dan kemudian dalam 2014, disebabkan oleh kitaran pelaburan yang semakin meningkat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain