suria

Suthep Perhebat Desakan Terhadap Yingluck

BANGKOK: Suthep Thaugsuban, pemimpin kumpulan penunjuk perasaan terhadap Perdana Menteri kerajaan sementara Yingluck Shinawatra, hari ini mengepalai beribu-ribu penyokongnya ke jalanan dalam usaha mempertingkatkan desakan terhadap Yingluck supaya meletak jawatan.

Kumpulan itu mengadakan bantahan di tujuh lokasi utama di ibu negara manakala beribu-ribu orang lagi turut berarak ke kediaman Yingluck di daerah Latproa dan membaca kenyataan mendesak pengundurannya sebagai perdana menteri kerajaan sementara.

Bagaimanapun, kumpulan itu yang dikatakan mewakili kaum wanita, berkemungkinan besar tidak dapat bertemu Yingluck memandangkan pada masa ini beliau tidak berada di dalam negara, sebaliknya melakukan lawatan ke luar bandar.

Perhimpunan itu bermula awal hari Ahad di tujuh lokasi utama iaitu persimpangan Asoke, persimpangan Ratchaprasong, Pusat Seni dan Budaya, Taman Lumpini dan Monumen Demokrasi di Ratchadamnoen Avenue, Monumen Victory dan persimpangan Latproa, kata Sathit Wongnongtoey, bekas anggota parti pembangkang, Demokrat.

Suthep, pemimpin kumpulan penunjuk perasaan dikenali sebagai Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat mengetuai sejumlah besar penunjuk perasaan di Wong Wien Yai, di bahagian barat Bangkok, untuk mengajak orang ramai menyertai demonstrasi mereka.

Dalam pengumuman menerusi Saluran Bluesky TV milik pembangkang, Suthep berkata penunjuk perasaan akan meneruskan bantahan mereka "memandangkan kerajaan sementara masih belum mendengar suara rakyat."

Beliau akan berucap di setiap lokasi perhimpunan utama hari ini dan menjangkakan lebih 2.3 juta penunjuk perasaan akan menyertai perhimpunan berkenaan.

Gangguan lalu-lintas besar-besaran berlaku di Bangkok hari ini memandangkan kebanyakan lokasi perhimpunan tertumpu di kawasan perniagaan yang terletak di tengah Bangkok.

Ia menjejaskan sebahagian besar pelancong manakala penduduk setempat pula sedia maklum tentang perhimpunan itu sejak beberapa hari lepas.

Minggu depan dijangka menyaksikan PDRC memperhebatkan desakan memandangkan 23-27 Dis ditetapkan sebagai tarikh pendaftaran calon di bawah sistem senarai parti dalam pilihan raya umum 2 Februari.

Pemimpin penunjuk perasaan di persimpangan Ratchprasong mengajak orang ramai mengadakan bantahan di hadapan Stadium Thai-Jepun (Dindaeng) tempat berlangsungnya pendaftaran calon itu kelak.

Yingluck dan partinya, Pheu Thai berserta sekutu mereka menjadi pilihan untuk memenangi pilihan raya umum, sebahagian besar berikutan sokongan yang masih diterima abang beliau, bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain