suria

Import Minyak Sayuran India Naik 35 Peratus Pada November

NEW DELHI: Import minyak sayuran India bagi November 2013 naik 35 peratus kepada 944,309 tan metrik daripada 700,371 tan metrik pada bulan yang sama tahun lepas, kata Persatuan Pengeluar Pelarut India (SEA) yang diumumkan, Khamis.

Ini terdiri daripada 927,111 tan metrik minyak makanan dan 17,198 tan metrik minyak bukan makanan, tambahnya.

Peningkatan dalam import kebanyakannya adalah berikutan penghantaran minyak bunga matahari yang lebih tinggi kerana ia lebih murah US$30 satu tan metrik berbanding minyak soya.

Simpanan semasa minyak makanan setakat 1 Dis, 2013 di pelbagai pelabuhan dianggarkan pada 590,000 tan metrik, di mana minyak sawit mentah (MSM) berjumlah 320,000 tan metrik, olein sawit RBD 130,000 tan metrik, minyak kacang soya 35,000 tan metrik, minyak bunga matahari mentah 100,000 tan metrik dan minyak biji canola 8,000 tan metrik.

Pada November 2013, import minyak bertapis naik 172 peratus dan dicatatkan pada 208,076 tan metrik berbanding 76,519 tan metrik pada November 2012.

Import minyak sawit mentah juga naik 20 peratus kepada 719,035 tan metrik daripada 599,715 tan metrik pada November 2012.

SEA berkata pada November 2013, import minyak sawit naik kepada 774,207 tan metrik daripada 614,574 tan metrik pada November 2012, sementara import campuran naik kepada 152,904 tan metrik daripada 61,660 tan metrik tahun lepas.

Bagaimanapun, import minyak bukan makanan pada bulan itu susut 29 peratus kepada 17,198 tan metrik daripada 24,137 tan metrik pada tempoh yang sama tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain