suria

Rusuhan: PM Singapura Arah Penubuhan COI

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengarahkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri supaya menubuhkan Jawatankuasa Siasatan (COI) berhubung insiden rusuhan di kawasan Little India di sini pada Ahad malam.

Beliau berkata COI akan melihat kepada faktor-faktor yang mencetuskan rusuhan itu serta menyemak semula langkah-langkah semasa untuk mengurus kawasan-kawasan yang menjadi kunjungan pekerja asing untuk berkumpul.

"Rusuhan ini adalah insiden terpencil yang timbul daripada tindakan menyalahi undang-undang oleh kumpulan yang bertindak balas atas kejadian kemalangan maut.

"Sebahagian besar pekerja asing di Singapura patuh kepada undang-undang dan menyumbang kepada ekonomi kita. Mereka bekerja keras untuk menyara hidup dan membantu keluarga mereka di negara mereka.

"Kita tidak boleh membenarkan kejadian buruk ini merosakkan pandangan kami terhadap komuniti pekerja asing di sini," kata Lee dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri di sini Isnin.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga warga India, Sakthivel Kumaravelu, yang terbunuh dalam kemalangan yang mencetuskan rusuhan itu.

Perdana Menteri itu juga meminta rakyat Singapura supaya tenang dan meneruskan urusan harian masing-masing.

Sementara itu, Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negeri, S. Iswaran memberitahu pemberita di Little India hari ini bahawa larangan penjualan dan pengambilan minuman keras akan dikuatkuasakan hujung minggu ini di Jalan Race Course, iaitu tempat tercetus rusuhan itu.

Beliau berkata butiran mengenai larangan itu akan dikeluarkan oleh pihak polis.

Ditanya sama ada alkohol menjadi faktor yang mencetuskan rusuhan itu, Iswaran berkata: "Ia adalah terlalu awal untuk menyatakan secara muktamad punca rusuhan selepas kemalangan maut tetapi ia adalah 'munasabah' bahawa pengambilan alkohol merupakan faktor penyumbang."

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 33 tahun meninggal dunia selepas dilanggar oleh sebuah bas di persimpangan Jalan Race Course dan Hampshire.

Sejurus selepas itu, rusuhan berlaku melibatkan sekitar 400 orang awam yang merosakkan sejumlah kenderaan dan mengakibatkan 10 pegawai polis cedera. - BERNAMA

Artikel Lain