suria

Bangkok Kembali Aman

BANGKOK: Bangkok kini kembali aman. Tiba-tiba setiap orang tersenyum dan menangis kegembiraan.

Sekatan di sekitar Rumah Kerajaan turut dibuang sementara penunjuk perasaan antikerajaan dan polis kelihatan mesra seperti rakan lama.

Juga tiada lagi bom asap dilepaskan semasa penyokong antikerajaan memasuki perkarangan Rumah Kerajaan.

Ribuan penunjuk perasaan yang berhimpun dan sedia untuk bertempur di sekitar bangunan tersebut pagi Selasa, tiba-tiba dialu-alukan masuk ke perkarangan dan ramai yang bersikap selaku pelancong denegan mengambil gambar dan menikmati makanan tengah hari.

Pemimpin antikerajaan mengisytiharkan kemenangan selepas penunjuk perasaan dibenar masuk ke dalam ibu pejabat biro polis Metropolitan dan perkarangan Rumah Kerajaan.

Akhbar harian berbahasa Inggeris The Nation sebelum ini melapokan pesuruhjaya biro itu Lt Jen Polis Khamronvit Thupkrajang berjanji pihak polis yang mengawal biro tersebut tidak akan melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan.

Khamrinvit dilapor sebagai berkata beliau akan membenarkan penujuk perasaan masuk dan menawan biro itu.

Namun keamanan wujud setelah berlaku empat kematian dan 134 orang cedera berikutan pertempuran antara penunjuk perasaan dan penyokong kerajaan di Universiti Ramkamhaeng pada Sabtu malam hingga awal pagi Ahad.

"Saya merasa gembira kerana kami bertempur hingga menang hari ini. Saya mengakui saya agak keliru dengan apa yang terjadi kerana semalam kami diserang dengan gas pemedih mata dan disembur air, tetapi hari ini ia amat berbeza," kata seorang peniaga.

Dia percaya ini ekoran rundingan yang mungkin dilakukan antara kerajaan dan pemimpin penunjuk perasaan.

Dia juga tidak pasti sama ada pemimpin penunjuk perasaan Suthep Thuegsuban akan meninggalkan politik seperti yang diumumkannya kepada para penyokongnya malam Isnin.

"Saya tidak tahu sama ada beliau akan mungkir janjinya. Sekiranya beliau masih dalam politik, orang akan menilainya. Kita akan lihat apa yang beliau akan lakukan," kata peniaga berumur 30 tahun ini yang tidak menyokong parti pembangkang atau kerajaan.

Seorang penduduk dari Suratthani, selatan Thai berkata dia juga keliru di samping merasa gembira dengan apa yang berlaku.

"Saya merasa lega tetapi juga keliru. Jika pemimpin kami (Suthep) minta kami untuk menunjuk perasaan, kami akan teruskan," katanya.

Katanya, dia akan kembali ke kawasan menunjuk perasaan untuk menyambut kemenangan mereka malam Selasa sebelum meraikan perayaan hari ulang tahun kelahiran Raja Bhumibol Adulyadej di sini Khamis ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain