suria

Taufan Haiyan: Filipina Rakam Penghargaan Kepada Malaysia

KUALA LUMPUR: Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia kerana sokongan memberangsangkan dan kemurahan hari mereka dalam membantu mangsa Taufan Yolanda (Haiyan). Menteri dan Konsul Jeneralnya, Medardo G. Macaraig berkata meskipun operasi penghantaran bantuan masih berjalan, namun di Malaysia ia semakin reda berikutan LBC Foundation (milik Filipina) di Malaysia dan Westport telahpun mencapai had keupayaan penerimaan barangan terdiri daripada makanan, air, ubat-ubatan, produk kebersihan, pakaian dan barangan lain.

"Rakyat Malaysia sangat baik hati terhadap kami dan saya turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat bukan warga Malaysia di negara ini. Bantuan berterusan mereka sangat memberangsangkan sehinggakan (bangunan) kedutaan menjadi seperti gudang disebabkan jumlah bantuan yang diterima," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menerima sumbangan cek berjumlah RM60,000 daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Sumbangan daripada anggota MMA dan doktor dari seluruh Malaysia itu diserahkan oleh Presiden MMA Datuk Dr NKS Tharmaseelan dan Setiausaha Kehormat Datuk Dr Kuljit Singh.

Macaraig berkata kedutaan itu bagaimanapun tidak menghalang mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk memandangkan "setiap bantuan amat bermakna kepada mangsa."

Katanya bantuan utama seperti barangan, makanan dan ubat-ubatan kini dihantar terus ke Cebu dan akan diserahkan kepada Palang Merah Kebangsaan Filipina dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Filipina.

"Pada masa ini kerajaan Filipina sedang menilai keperluan pemulihan dan pembinaan semula bagi jangka panjang, namun yakinlah bahawa dengan bantuan komuniti antarabangsa kami akan terus mara dan berusaha keras untuk mengembalikan semula kehidupan kami di sana kepada asal secepat mungkin," kata Macaraig.

Sementara itu, Dr Tharmaseelan berkata selain menyumbangkan bantuan wang tunai, pasukan Kor Sukarelawan MMA juga bersedia menawarkan kepakarannya dalam pelbagai bidang termasuk psikiatri jika diperlukan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain