suria

33 Terkorban Dalam Runtuhan Pasaraya Di Latvia

RIGA: Pekerja penyelamat menarik keluar lebih banyak mayat dari runtuhan sebuah pasaraya di ibu negara Latvia, Riga, pada hari Jumaat dengan jumlah kematian seramai 33 dicatatkan manakala yang lain dipercayai masih tertimbus dalam runtuhan.

Kren digunakan untuk mengangkat serpihan runtuhan yang besar pasaraya Maxima yang terletak di pinggir bandar dan kawasan perumahan era-Soviet.

Ramai dipercayai terperangkap selepas bumbung pasaraya runtuh pada Khamis ketika ia dipenuhi pelanggan yang dalam perjalanan pulang dari kerja.

Pasaraya terbabit, berkeluasan kira-kira 500 meter persegi (5,380 kaki persegi) menjadi tumpuan petugas penyelamat dan penggali untuk menyelamatkan mangsa dan membersihkan serpihan runtuhan. Ambulans dan jentera bomba turut kelihatan.

Polis berkata, angka kematian telah meningkat kepada 33. Ia termasuk tiga pekerja menyelamat.

"Beberapa jam yang lalu tiada mangsa terselamat yang ditemui," kata jurucakap perkhidmatan menyelamat Viktorija Sembele.

Terdahulu, jurucakap perkhidmatan ambulans Ilze Buksa memberitahu televisyen tempatan 28 orang telah cedera dan dibawa ke hospital.

Masih tidak jelas apa yang menyebabkan runtuhan tetapi Menteri Dalam Negeri Rihards Kozlovskis memberitahu televisyen tempatan: "Adalah jelas bahawa terdapat masalah dengan syarat keperluan pembinaan."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain