suria

Demonstrasi Berterusan Boleh Jejas Perniagaan di Thailand

BANGKOK: Demonstrasi berterusan di banyak kawasan di Thailand yang membantah rang undang-undang pengampunan meskipun kerajaan telah menarik balik baru-baru ini, telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan komuniti perniagaan.

Thai Chamber of Commerce and Board of Trade of Thailand melahirkan kebimbangannya akan konflik politik sekarang yang dijangka berlarutan dan menjejaskan keseluruhan ekonomi, perniagaan, perdagangan, keyakinan pelaburan dan industri pelancongan.

Dewan itu dalam satu kenyataan berkata ia bimbang terutamanya berkaitan dengan sektor pelancongan kerana musim kemuncak bagi sektor tersebut semakin hampir, yang merupakan faktor penting dan utama dalam menggerakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Ia berkata negara telahpun menghadapi ekonomi yang perlahan dengan eksport suku ketiga meningkat hanya 0.05 peratus dan menjangka berkembang hanya satu peratus bagi tahun ini.

"Setiap orang harus memikirkan tentang kesan konflik politik ke atas ekonomi negara," kata dewan itu.

Ia merayu peserta demonstrasi agar meminimumkan konfrontasi dan tidak menggunakan kekerasan yang boleh menjejaskan ekonomi dan imej negara. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain