Dua Minggu Untuk Kenal Pasti 13 Mangsa Nahas Helikopter MI-17 - Dunia | mStar

Dua Minggu Untuk Kenal Pasti 13 Mangsa Nahas Helikopter MI-17

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia memerlukan masa dua minggu untuk mengenal pasti mayat 13 penumpang helikopter MI-17 milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD), yang terhempas dan terbakar di kawasan Malinau, Kalimantan Utara dekat sempadan Indonesia-Malaysia pada Sabtu.

Proses mengenal pasti jasad mangsa membabitkan pemeriksaan forensik dan memakan masa agak lama kerana pihak berkuasa perlu mengambil sampel darah anggota keluarga untuk dipadankan dengan DNA mangsa, kata Komandan Pusat Penerbangan TNI-AD Brigidier Jeneral Afifuddin, pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Staf TNI-AD Jenderal Budiman berkata laporan sementara pasukan penyiasat menyatakan pesawat malang yang membawa 19 penumpang itu jatuh terhempas ke dalam gaung, kira-kira 10 meter sebelum ia mendarat di kawasan Malinau selepas ditiup angin kencang.

Korban nahas itu terdiri daripada lapan orang awam dan lima anggota TNI-AD manakala enam penumpang yang terselamat dalam kejadian berkenaan ialah empat orang awam dan dua anggota TNI-AD.

Helikopter itu dilaporkan sedang mengangkut pekerja binaan untuk projek pembinaan pos tentera di kawasan sempadan Indonesia-Malaysia iaitu Malinau-Sarawak semasa kejadian berlaku pada kira-kira 11 pagi, dua jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Juwata, Tarakan pada Sabtu.

Artikel Sebelum

Batman Tidak Terlepas Penjara Singapura

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan