suria

Unicef Perlu RM102 Juta Bantu Kanak-Kanak Di Filipina

KUALA LUMPUR: Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) merayu sumbangan US$34 juta (RM102 juta) untuk membiayai operasinya membantu berjuta-juta mangsa taufan Haiyan di Filipina, termasuk empat juta kanak-kanak.

Permintaan Unicef itu adalah sebahagian daripada rayuan sumbangan oleh PBB berjumlah RM903 juta (US$301 juta) untuk membiayai operasi kemanusiaan pada masa akan datang, kata wakil Unicef di Malaysia Wivina Belmonte ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata bantuan bekalan tambahan untuk kesihatan, makanan dan air diperlukan dengan segera tetapi tidak dapat disediakan tanpa dana tambahan.

"Kanak-kanak yang terselamat dalam bencana dahyat akibat serangan Haiyan memerlukan bantuan dengan segera...Kami amat bimbang tentang kesihatan mereka akibat kesan buruk serangan taufan itu terhadap bekalan air, sistem sanitasi dan tempat kediaman. "Untuk menolong kanak-kanak mengatasi rasa terkejut dan trauma daripada perkara yang baru saja mereka saksikan, mereka juga memerlukan ruang yang selamat dan diberi perlindungan untuk bermain serta menyambung belajar...Kami percaya ini adalah antara cara untuk menyambung kembali kehidupan mereka dengan rutin biasa dan asas, walaupun dalam keadaan huru-hara," katanya.

Oleh itu, kata beliau, Unicef memerlukan dana untuk menyumbang bekalan asas persekolahan kepada pelajar, yang sekolah mereka rosak teruk akibat dilanda taufan itu baru-baru ini.

Bekalan atau 'Sekolah Dalam Kotak' adalah sebahagian daripada dasar kecemasan agensi PBB itu untuk menyokong pembelajaran berterusan pelajar di seluruh dunia ketika berlaku bencana alam atau peperangan, katanya.

"Lazimnya, 'Sekolah Dalam Kotak' ini mengandungi buku, pensil, pen, pembaris, kapur dan peralatan pembelajaran lain," katanya.

Di samping itu, kata beliau, barangan sanitari seperti sabun, tablet penulenan air dan kit perubatan juga diperlukan untuk mencegah mereka daripada dijangkiti penyakit.

Bantuan yang sampai ke Filipina akan membawa banyak perbezaaan terhadap keadaan yang ada, kata Belmonte.

Beliau berkata bantun kewangan amat diperlukan memandangkan keadaan di Filipina menjadi semakin buruk, hinggakan wanita terpaksa bersalin di atas lantai kerana hospital telah musnah akibat bencana alam itu.

Mereka yang ingin menderma boleh melayari www.helpunicef.my dan sumbangan boleh dibuat melalui kad kredit; atau menggunakan cek berpalang atau membuat pemindahan wang melalui bank yang dibayar kepada 'UNITED NATIONS CHILDREN'S FUND-EMERGENCY'. Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi (03) 2092 5812 atau (03) 2095 9154.

Taufan Haiyan melanda wilayah Guiuan di timur Samar, Filipina Jumaat lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain