suria

Yingluck Yakin Keadaan Banjir Dapat Diurus Dengan Baik

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra yakin negaranya, yang kini dilanda banjir yang menjejaskan 605,000 orang di 21 wilayah, akan dapat mengurus keadaan itu dengan lebih baik berbanding dua tahun lepas.

Jumlah air banjir kali ini berkurangan berbanding dua tahun lalu, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat kabinet mingguan di sini Selasa.

Keadaan itu berbeza dua tahun lalu apabila banjir menjejaskan banyak wilayah, dan banyak daerah di Bangkok dilanda banjir selama berminggu-minggu.

Beliau berkata kawasan perindustrian di wilayah Ayutthaya akan dapat menangani keadaan banjir tahun ini sambil melahirkan kebimbangan bagi kawasan perindustrian Saha Rattans Nakorn yang masih belum selesai membina tembok penahan banjir.

Yingluck berkata beliau telah mengarahkan pihak berkuasa menangani keadaan banjir di daerah Kabinburi, wilayah Prachinburi (kawasan timur) yang berdepan keadaan banjir yang serius.

Setakat ini, 4,025 perkampungan di 114 daerah meliputi 21 wilayah dilanda banjir, kata ketua pengarah jabatan mitigasi dan pencegahan bencana Chatchai Promlert.

Katanya wilayah yang dilanda banjir ialah Phitsanulok, Phichit, Kamphaengphet, Petchabun di kawasan utara manakala kawasan timur laut ialah Nakhon Ratchasima, Surin, Kalasin, Si Sa Ket, Ubon Ratchathani, Amnatcharoen dan Buri Ram, katanya.

Bagi kawasan tengah, kawasan terbabit ialah Nakhon Sawan, Saraburi, Lopburi, Nakhon Nayok, Ayutthaya, Angthong, dan di sebelah timur ialah Kanchanaburi, Sakaeo dan Prachinburi.

Di selatan ialah Chumphon. - BERNAMA

Artikel Lain