suria

Thailand Ketatkan Pengeluaran Visa

BANGKOK: Thailand akan mengetatkan pengeluaran visa untuk pelancong di konsulat dan kedutaannya di negara-negara jiran selepas beberapa siri kehilangan pelekat visa negara itu.

Kes terbaharu melibatkan kehilangan 2,000 pelekat visa ketika dihantar ke kedutaan Thai di Belanda pada hujung minggu, diikuti kes kehilangan 300 pelekat visa dari kedutaan Thai di Kuala Lumpur.

Timbalan Setiausaha Luar Tetap Thailand Nattawut Pothisaro berkata kehilangan 2,000 pelekat visa mungkin bukan disebabkan kecurian biasa memandangkan ia hilang semasa transit penerbangan dari Frankfurt, Jerman ke The Hague, Belanda.

Bercakap pada sidang akhbar, beliau percaya semua kes kehilangan pelekat visa itu adalah angkara kumpulan tempatan dan asing.

Pegawai-pegawai konsulat dan kedutaan Thai di seluruh dunia diarah untuk lebih tegas dalam pengeluaran visa, terutama di negara-negara jiran kerana ramai pelancong gemar ke negara jiran dan memohon visa Thai untuk masuk semula ke negara ini.

Nattawut berkata dua lelaki Afrika, masing-masing dari Burundi dan Ghana, ditahan Jumaat lepas kerana didakwa menggunakan pelekat visa curi dari konsulat Thai di Suvannakhet Laos untuk masuk ke Thailand.

Beliau berkata pegawai-pegawai mengesahkan mereka tidak mengeluarkan visa di Konsulat Thai di Suvannakhet, Laos, untuk kedua-dua lelaki itu.

Pelekat visa yang diguna dua lelaki Afrika itu adalah sebahagian daripada 500 pelekat visa yang hilang pada 2008, katanya.

Nattawut berkata Thailand bercadang menggunakan siatem e-visa mulai 1 Oktober tahun depan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pelancong.

Bagaimanapun, di negara-negara berisiko termasuk Timur Tengah, beberapa negara Asia dan Afrika, sistem permohonan visa yang ada kini masih perlu.

Kedutaan dan Konsulat Thailand di seluruh dunia mengeluarkan 2.432 juta visa dalam tempoh enam bulan tahun tahun ini.

Sebanyak 3.349 juta visa dikeluarkan sepanjang tahun lepas.

Tahun ini, dijangkakan sejumlah empat juta visa dikeluarkan. - BERNAMA

Artikel Lain