suria

Syarikat Malaysia Suspek Pembakaran Hutan di Riau

JAKARTA: Polis Nasional Indonesia menamakan satu subsidiari kepada sebuah syarikat Malaysia sebagai suspek pembakaran hutan bagi pembukaan tanah untuk perladangan di Riau.

Jurucakap Polis Nasional Ronny F. Sompie berkata syarikat itu didakwa melakukan amalan pembakaran secara tidak bertanggungjawab di kawasan konsesinya di Riau.

"Syarikat itu bertanggungjawab atas pembakaran itu dan diisytiharkan sebagai suspek, tetapi kami belum mengenal pasti pekerja syarikat yang bertnggungjawab melakukan pembakaran itu," beliau dipetik sebagai berkata oleh sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris, The Jakarta Post, pada Jumaat.

Beliau berkata polis mengesan beberapa tompokan panas di kawasan yang dikawal lima syarikat tetapi hanya mendapat bukti yang mencukupi mengenai pembabitan anak syarikat kepada sebuah syarikat Malaysia berhubung kaedah tebang dan bakar yang digunakan bagi membuka tanah untuk perladangan.

Sementara itu, Persatuan Pelabur Perladangan Malaysia di Indonesia (Apimi) menafikan sebarang pembabitan syarikat-syarikat Malaysia dalam pembakaran hutan di Indonesia. Setiausaha Ekskekutif Apimi Nor Hazlan Abdul Mutalib berkata persatuan itu akan mengeluarkan satu kenyataan tidak lama lagi sebagai menjawab dakwaan terbaharu pihak berkuasa Indonesia berhubung perkara itu.

The Jakarta Post juga memetik jurucakap polis Riau Hermansyah sebagai berkata bahawa polis juga menyoal siasat 16 saksi yang terdiri daripada pekerja lapangan sehingga pekerja di peringkat pengurusan anak syarikat yang mempunyai kaitan dengan syarikat Malaysia.

"Tiada yang dinamakan sebagai pelaku pembakaran di kawasan konsesi syarikat..kami tidak mahu terburu-buru menamakan pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Kegiatan tebang dan bakar pada Jun menyebabkan jerebu yang teruk menyelubungi Malaysia dan Singapura selain menjejaskan rakyat Indonesia yang tinggal berdekatan kawasan pembakaran di Sumatera.

Ia juga mendorong Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura. -BERNAMA

Artikel Lain